PERMATANG PAUH: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini berjaya mengumpul dana sehingga RM38,000 dalam bentuk wang tunai serta barangan keperluan harian di bawah program Kami Prihatin 4.0 untuk diagihkan kepada kira-kira 350 penerima kurang berkemampuan di sekitar kawasan ini.
Rektornya, Prof. Dr. Salmiah Kasolang berkata, jumlah dana itu berganda berbanding tahun lepas dan merupakan yang tertinggi setakat ini sejak program tersebut dilancarkan pada 2018.
Jelas beliau, pihaknya menyasarkan mengumpul dana sehingga RM50,000 menjelang tahun depan melihat kepada sumbangan memberangsangkan yang diterima untuk program berkenaan.
“Selain dana yang dikutip hasil inisiatif kakitangan serta penuntut universiti, kita turut menerima sumbangan beberapa pihak termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), syarikat penyelenggaraan jalan, THB Maintenance Sdn. Bhd. serta restoran makanan barat terkenal di sini iaitu Pak Mat Western.
“Penerima bantuan pula terdiri daripada kalangan pekerja kontrak pembersihan dan landskap, warga emas, kakitangan universiti serta pelajar prapengajian tinggi yang kurang berkemampuan, kakitangan bersara dan penghuni rumah anak-anak yatim,” katanya pada majlis pelancaran Program Khidmat Masyarakat di sini hari ini.
Kira-kira 180 penerima awal memperoleh bantuan tersebut untuk peringkat pertama hari ini yang disampaikan sendiri oleh Salmiah.
Sumbangan yang diberi dalam bentuk barangan keperluan harian itu antara lain merangkumi beras, minyak, gula, bihun, tepung gandum, kicap, serbuk teh, susu pekat, milo serta kordial sirap.
Menurut Salmiah, pihaknya berharap bantuan itu dapat meringankan beban mereka untuk menempuh Ramadan sekali gus menyambut Syawal dengan lebih ceria.
Katanya, berbeza dengan program-program sumbangan terdahulu, penerima bantuan untuk program kali ini turut dibekalkan dengan ‘kit Covid-19’ berserta penerangan mengenai langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan pandemik berkenaan.
“Program Kami Prihatin ini juga adalah sebagai tanda ingatan warga UiTM cawangan Pulau Pinang kepada golongan memerlukan kerana setiap rezeki yang dikurniakan kepada kita itu ada juga rezeki orang lain di dalamnya,” ujar beliau yang turut ‘turun padang’ bagi menyantuni penerima dalam kalangan penduduk setempat. – UTUSAN