Tubuh jawatankuasa khas tangani isu urus niaga ais

Tubuh jawatankuasa khas tangani isu urus niaga ais di Pasar Borong Ipoh

RUMAIZI Baharin (tengah) menerima cadangan bagi penyelesaian isu peniaga ais haram di Pasar Borong Ipoh daripada wakil NGO pada pertemuan dengan persatuan peniaga di Ipoh hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi membincangkan seterusnya memberi cadangan bagi menyelesaikan isu urus niaga ais kepada peniaga-peniaga di Pasar Borong Ipoh.

Perkara itu diputuskan pada pertemuan antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama wakil peniaga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi lain termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen di Dewan Mesyuarat MBI, di sini hari ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, MBI tidak pernah melaksanakan konsep monopoli dalam urus niaga ais kepada peniaga-peniaga di Pasar Borong Ipoh kerana semua perniagaan yang dijalankan adalah mengikut kebenaran lesen masing-masing.

Menurut beliau, perniagaan ais di premis tersebut telah dilesenkan pada Cheong Fatt Siang yang merupakan peniaga ais tunggal sebelum menyerahkan perniagaan kepada Kamarul Haidi Kamaruzaman selaku pemegang lesen baharu pada 2019.

“Bagaimana pun pihak Persatuan Pemborong Ikan telah melantik salah seorang peniaga di situ untuk membekalkan ais kepada ahli-ahli persatuan iaitu Teoh Kok Chuan yang juga merupakan peniaga dan pemegang lesen ikan.

“Susulan itu, kita telah memberi notis lisan kepada peniaga tersebut agar menghentikan aktiviti tersebut atau lesen perniagaannya boleh dibatalkan. Pada masa ini perkara tersebut telah beliau patuhi.

“Pada masa sama saya minta persatuan-persatuan peniaga berbincang dalam komuniti mereka untuk beri cadangan pada MBI tentang urus niaga ais ini berapakah pembekal ais yang mereka perlukan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan persatuan peniaga di Dewan Mesyuarat MBI di sini.

Pasar Borong Ipoh yang terletak di Kawasan Perusahaan Mengglembu menempatkan 298 peniaga meliputi 13 jenis perniagaan dengan pecahan terdiri daripada 226 peniaga Cina, Melayu (58), India (12) dan lain-lain (2).

Sebelum ini, sebuah NGO iaitu Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak menggesa MBI tegas dalam menangani isu peniaga ais tidak berlesen serta pekerja asing di Pasar Borong Ipoh.

Dakwa wakil gabungan itu, permasalahan yang berlaku itu memberi kesan kepada peniaga berlesen di samping memberi gambaran bahawa wujud situasi tidak sihat di pasar borong berkenaan dan perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, kata Rumaizi, tiada peniaga warga asing yang dibenarkan berniaga di Pasar Borong Ipoh seperti didakwa tetapi tidak menolak ada dalam kalangan peniaga di situ yang menggajikan warga asing secara tidak sah.

“Ada sesetengah peniaga mengambil pekerja pendatang asing warga Rohingya, kita akan merujuk perkara ini kepada pihak polis dan Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Pada masa sama, MBI akan memantapkan lagi kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan aktiviti perniagaan di Pasar Borong Ipoh berjalan mengikut peraturan yang telah kita tetapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN