TNB rangkul dua Anugerah SEBA - Utusan Malaysia

TNB rangkul dua Anugerah SEBA

Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Rodzi Ahmad (tengah) memegang trofi yang dimenanginya dalam Anugerah SEBA.– Ihsan TNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membawa pulang dua anugerah pada Majlis Anugerah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan ke-5 (Anugerah SEBA) menerusi kemenangan dua anak syarikatnya, GSPARX Sdn. Bhd. dan Allo Technology Sdn. Bhd. yang diumumkan sebagai PKS Terbaik.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan terhadap GSPARX dan usaha syarikat dalam memacu peralihan tenaga di Malaysia kepada tenaga boleh baharu.

“Ini menunjukkan kami berada di landasan yang betul dalam usaha meningkatkan inisiatif untuk mencapai agenda hijau negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

GSPARX yang merupakan entiti utama yang menyediakan penyelesaian panel fotovoltaik (PV) solar bumbung kepada pelanggan runcit di Malaysia meraih anugerah Jenama Terbaik dalam Penyelesaian Solar Bumbung dalam Memperkasa Tenaga Hijau.

Allo, pemain utama dalam pembangunan infrastruktur jalur lebar kelajuan tinggi (HSBB) untuk menyokong pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) kerajaan pula memenangi anugerah Jenama Terbaik dalam Perkhidmatan Infrastruktur Jalur Lebar Syarikat Telekomunikasi.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Rodzi Ahmad berkata, penghargaan itu adalah galakan yang tepat pada masanya kerana pihaknya kini dalam usaha menyediakan sambungan gentian optik ke 150,000 homepass di Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan menjelang Jun tahun ini.

“Dalam usaha memanfaatkan infrastruktur serat optik TNB sepanjang 18,000 kilometer di cawangannya di seluruh Semenanjung Malaysia, setakat ini Allo telah berjaya menyediakan 60,000 homepass dengan fiber optik hubungan di Melaka, Perak dan Kedah,” ujarnya.

Anugerah SEBA adalah inisiatif tahunan yang dianjurkan oleh Yayasan Usahawan Malaysia, bertujuan sebagai platform kepada pengusaha untuk pengiktirafan, rangkaian dan pertumbuhan berterusan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya