JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar kejadian yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat tidak berulang lagi di mana-mana sekolah di negeri ini pada masa akan datang.
Tunku Ismail bertitah, tindakan dibuat sekolah itu sebelum ini tidak selaras dengan konsep Bangsa Johor yang memupuk perpaduan antara kaum di bawah satu identiti.
“Sekolah adalah tempat untuk memupuk semangat perpaduan antara rakyat Johor, bukan untuk memecah belahkan masyarakat kita. Kejadian ini perlu dielakkan untuk mengekalkan kesejahteraan awam dan perpaduan rakyat,” titahnya dalam kenyataan dimuat naik ke laman Facebook rasmi miliknya hari ini.
Terdahulu, Tunku Mahkota Johor menerima menghadap Pengetua SMK Dato’ Bentara Luar, Abdul Razak Hamid; Pegawai Daerah Batu Pahat, Ismail Abu dan Pemangku Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Sahilon Abd. Halim.
Ini susulan baru-baru ini, tular dalam media sosial sebuah sekolah mengeluarkan surat yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran aktiviti kokurikulum pelajar Tingkatan 1 di sekolah berkenaan.
Semalam, pentadbiran SMK Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat telah memohon maaf atas insiden mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa dan jantina pelajarnya.
Abdul Razak turut mengakui pihaknya terlepas pandang isu perkauman dalam maklumat pendaftaran dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum yang diedarkan kepada pelajar Tingkatan 1 itu dan berjanji ia tidak akan berulang.
“Kesilapan yang berlaku tidak disengajakan dan terjadi atas kesilapan kami kerana kurang ketelitian sebelum maklumat disebar luaskan. Kami berjanji untuk tidak akan mengulangi kesilapan yang berlaku,” katanya.
Susulan itu pihak sekolah sudah melakukan penambahbaikan dan pembetulan mengikut landasan yang sepatutnya serta mematuhi segala prosedur pelaksanaan. – UTUSAN