Tiada keperluan tutup semua sekolah di Negeri Sembilan

Tiada keperluan tutup semua sekolah di Negeri Sembilan – MB

AMINUDDIN Harun menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada Program Menteri Bersama Asnaf Daerah Seremban di Dewan Menara MAINS, Seremban, hari ini. - FOTO/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berpandangan tiada keperluan untuk menutup semula semua sekolah susulan berlaku penularan dan peningkatan kes positif Covid-19 yang melibatkan murid dan pelajar di sekolah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penularan kes positif Covid-19 di sekolah termasuk di negeri ini masih lagi terkawal dan sewajarnya hanya sekolah yang terlibat sahaja wajar ditutup buat sementara waktu.

“(Di Negeri Sembilan) dua buah sekolah saya dimaklumkan tetapi terkawal, satu sekolah berasrama penuh dan satu sekolah biasa. Masyarakat tidak harus panik.

“Saya rasa belum ada keperluan (menutup semua sekolah) baru dua sekolah, ia dapat dikawal oleh Kementerian Kesihatan dengan baik nampaknya. Tiada keperluan, hanya sekolah yang terlibat (ditutup),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Menteri Bersama Asnaf Daerah Seremban di Dewan Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir dan Setiausaha MAINS, Ahmad Husaini Mustafa.

Semalam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 dekat sini diarahkan ditutup sehingga 29 April depan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selepas terdapat pengesanan kes 17 kes positif di sekolah tersebut.

Seramai 179 individu termasuk pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu pula telah dikuarantin di pusat kuarantin Institut Aminuddin Baki dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai berikutan terdapat tiga kes positif Covid-19 di sekolah berkenaan.

Baru-baru ini, media melaporkan cadangan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) supaya semua sekolah ditutup buat sementara waktu dan dilaksanakan kembali proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi mengurangkan risiko penularan kes Covid-19 di sekolah.

Sementara itu, Aminuddin berharap golongan ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan tidak membenarkan anak-anak masing-masing ke sekolah sekiranya mempunyai simptom Covid-19.

“Kadang-kadang mereka tahu mereka demam, tapi mereka keluar, ini perkara yang berlaku, ada yang hantar anak ke sekolah walaupun ada di antara mereka yang pakai ‘gelang’, sepatutnya anak pun tak perlu ke sekolah buat sementara waktu.

“Perkara-perkara ini seharusnya keluarga itu sendiri kena faham bahawa keperluan mereka hari ini adalah bukan sahaja menjaha kesihatan diri mereka sahaja tetapi kesihatan masyarakat juga. Jika ada dalam keluarga mempunyai kontak rapat, mintak tidak hantar anak ke sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN