JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak berhasrat mengikut jejak kerajaan Pulau Pinang yang melaksanakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Alternatif setelah melihat tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ini kerana fungsi kerajaan dan jabatan di negeri ini masih berjalan seperti biasa sejak pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bermula 11 Januari lalu.
Hasni turut memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan Belanjawan Johor 2021 akan dapat dilaksanakan sebagaimana yang dirancang.
“Kita di Johor ada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang akan memantau setiap program-program berdasarkan belanjawan yang diumumkan untuk 2021.
“Setiap perkara yang telah dibincangkan di dalam DUN sebelum ini dan segala perancangan dan pelaksanaan belanjawan akan dipantau dan dilaporkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco jika berbangkit perkara-perkara yang perlu penambahbaikan.
“Dalam tempoh darurat ini, kita masih boleh meneruskan pentadbiran dan menguruskan perbelanjaan sekiranya kita memerlukan bajet tambahan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari RTM Ke-75 peringkat Negeri Johor bertempat di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Johor, Ramlee Johari.
Mengulas lanjut, Hasni berkata, walaupun Sidang DUN tidak berlangsung dalam tempoh darurat, ia tidak menggugat ataupun melambatkan proses untuk menjalankan sesuatu program demi kepentingan rakyat.
“Jadi, belum ada keperluan untuk kita mengadakan satu sidang khas untuk melihat semula dasar ataupun mengkaji semua keberkesanan Belanjawan 2021 dan program-program yang dibuat oleh kerajaan.
“Bagaimanapun, jika ia tidak bertepatan dengan program yang dibuat oleh kerajaan, maka kita akan gunakan kaedah yang dicadangkan (sidang khas) sebagai satu pendekatan.
“Tapi setakat hari ini, kita tidak melihat bahawa ada sebarang masalah untuk agensi-agensi kerajaan melaksanakan dasar kerajaan,” katanya.
Semalam, beberapa wakil rakyat pembangkang pada program flash mob ‘Bantah Darurat, Buka Parlimen’ di Pasir Gudang, dekat sini menggesa agar kerajaan negeri mengadakan Sidang DUN Aternatif sebagaimana yang dilaksanakan di Pulau Pinang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung dan ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse mendesak agar wakil rakyat dapat menjalankan peranan ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan selain menyuarakan masalah rakyat memandangkan semua ADUN telah disuntik vaksin. – UTUSAN ONLINE