PETALING JAYA: Sime Darby Motors (SDM) mengorak langkah lebih jauh dengan pelancaran rasmi fasiliti automotifnya, Pusat Automotif Sime Darby yang terletak di Ara Damansara, dekat sini.
Ia dikatakan sebagai kompleks automotif terbesar di Asia Tenggara dengan ruang-ruang pameran terbesar untuk jenama-jenama kenderaan terkemuka Malaysia dan Asia Tenggara serta mempunyai bangunan lapan tingkat dengan luas keseluruhan 1.3 juta kaki persegi yang dibangunkan di atas tapak seluas 8.6 ekar.
Fasiliti itu juga merupakan fasiliti automotif pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi internet benda (IoT) dalam usahanya untuk mempelbagaikan pengalaman pelanggan melalui pendigitalan.
Dalam satu kenyataan di sini, syarikat automotif itu berkata, teknologi itu mampu meningkatkan keupayaan servis dan menggalakkan kemajuan syarikatnya dengan menambah kecekapan dalam memberikan khidmat terbaik kepada para pelanggan.
Katanya, tumpuan infrastruktur digital di fasiliti tersebut ketika ini adalah sistem pengurusan pengesanan kenderaan yang menggunakan kamera untuk panduan parkir dan penunjuk-penunjuk tersuai bagi memastikan panduan, keselamatan dan keselesaan yang terbaik untuk para pelanggan.
“Kamera Pengecaman Nombor Plat Automatik yang dikuasakan secara IoT turut disepadukan dalam sistem daftar kendiri tanpa sentuhan, membolehkan maklumat temu janji para pelanggan terus diakses sebaik sahaja mereka tiba, maka serentak dengan itu, perunding servis diberitahu dan ditugaskan secara automatik untuk mengendalikan pelanggan tersebut.
“Apabila berada di ruang pameran, para pelanggan boleh memilih untuk membuat daftar kendiri tanpa sentuhan menggunakan sistem kod QR. Seterusnya, ia akan menempatkan pelanggan menurut giliran menunggunya secara automatik tanpa perlu proses-proses remeh seperti mengambil tiket nombor giliran,” katanya.
Menurut SDM, fasiliti berkenaan mampu memuatkan hampir 200 petak servis, lebih kurang 700 petak parkir untuk pelanggan dan petak mengecas kenderaan elektrik (EV) serta mampu mempamerkan lebih 180 unit kenderaan.
Fasiliti itu mempunyai hampir 60 orang juruteknik Auto Bavaria untuk jenama BMW, MINI dan Motorrad serta lebih daripada 110 juruteknik bertauliah secara keseluruhannya termasuk juruteknik-juruteknik yang mempunyai kelayakan tertinggi seperti Master Technicians bagi jenama Ford, Hyundai, Jaguar dan Land Rover serta Zertifizierter Porsche Techniker Gold Certification yang mana kelayakannya diselaraskan untuk para juruteknik Porsche seluruh dunia.
Kompleks itu juga menempatkan enam pusat jualan utama yang menampilkan sepuluh jenama diwakili mereka yang terdiri daripada BMW, Ford, Porsche dan lain-lain dan mempunyai fasiliti yang mampu menyimpan hampir 100 unit kenderaan terpakai, khusus untuk Sime Darby Auto Selection. – UTUSAN ONLINE