Anggota polis berpangkat sarjan didakwa tiga kes rasuah

Sarjan didakwa tiga kes rasuah

MOHD. Saiful Saifuddin (tengah) didakwa atas tiga pertuduhan rasuah dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini. - FOTO/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Saiful Saifuddin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan pertama, anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu didakwa meminta rasuah sebanyak RM13,000 daripada Abdul Rahman Mumtaz Ali sebagai dorongan untuk menutup kes narkotik di Kepala Batas di sini.

Mohd. Saiful didakwa melakukan kesalahan itu di IPD Kota Setar pada 19 Februari 2018, pukul 7 petang.

Tertuduh yang bekerja di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik ketika itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694)  dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah RM9,000 daripada lelaki tersebut di dalam kereta Myvi di tempat letak kereta Stesen Bas Shahab Perdana di sini pada 21 Februari pukul 4.30 petang.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan daripada Abdul Rahman sebanyak RM4,000 di lokasi sama pada 22 Februari pukul 6.45 petang.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Mohd. Saiful didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan sementara tertuduh diwakili peguam Mohd. Hakim Hamran.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan sebelum dirayu peguam bela dengan alasan tertuduh terpaksa menanggung isteri seorang suri rumah dan dua anak mereka berusia tiga tahun dan tujuh bulan.

Hakim menetapkan pada 8 Jun sebagai tarikh sebutan semula dan tertuduh membayar wang jaminan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya