KEMAMAN: Penderitaan kira-kira 10 peniaga di Pantai Kuala Kertih di sini akibat ketiadaan kemudahan asas dan tapak perniagaan sejak enam tahun lalu bakal berakhir selepas pembinaan Taman Rekreasi Awam Kertih siap dua tahun lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, kerja-kerja pembinaan taman rekreasi seluas 12 hektar itu akan dimulakan pada bulan depan dengan kos kira-kira RM20 juta.
Katanya, antara kemudahan yang akan dibangunkan termasuk taman permainan, kawasan perkelahan, lot kedai dan beberapa fasiliti lain untuk keselesaan pengunjung.
“Kita berharap peniaga dapat bersabar dan insya-Allah semuanya akan diselesaikan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira 10 peniaga di Pantai Kuala Kertih terpaksa membawa bekalan air mentah dari rumah untuk memasak dan mencuci pinggan di samping menggunakan set generator.
Sementara itu, seorang peniaga, Johari Abdul Ghani, 50, lega kerana dapat mencari rezeki tanpa sebarang halangan selepas terlalu lama dibelenggu masalah sama.
“Saya senang hati dan berharap projek itu berjalan lancar sekali gus menamatkan penderitaan kami yang sudah berlarutan lama.
“ADUN turut memaklumkan kemudahan elektrik dan air akan dipasang di tapak sementara kami berniaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE