Ribut selepas berbuka puasa, dua buah rumah rosak teruk

Ribut selepas berbuka puasa, dua buah rumah rosak teruk

MOHD. Zakwan Abdullah (depan) bersama Mohd. Podzi Saleh melihat sebahagian rumah rosak teruk dihempap sebatang pokok di Kampung Berahmah di Lipis, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Dua buah rumah di Kampung Berhamah dan Kampung Merapoh dekat sini rosak teruk apabila dibadai ribut dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 petang semalam.

Kejadian itu menggemparkan penduduk yang baharu berbuka puasa dan mengambil wuduk untuk solat Maghrib malah ada yang masih menghadap juadah.

Penduduk Kampung Berhamah, Che Ismail Umat, 74, berkata, ketika dia hendak menunaikan solat Maghrib tiba-tiba kawasan kediamannya didatangi ribut dan dalam beberapa minit terdengar pokok tumbang di belakang rumah.

“Akibat kejadian itu bahagian belakang rumah saya rosak dihempap pokok dan sebahagian bumbung serta atap ruang bilik diterbangkan ribut. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

“Kejadian ribut kerap berlaku sejak awal tahun ini di beberapa buah kampung di sini yang turut membabitkan kerosakan bahagian bumbung rumah dan banyak pokok tumbang,” katanya di sini hari ini. 

Penduduk Kampung Merapoh, Mohd. Yazid Dhamiri Sarwani, 35, berkata, angin pada mulanya perlahan, tetapi bertukar kuat sehingga penduduk yang baharu selesai menikmati juadah berbuka puasa terkejut. 

“Dalam beberapa saat sahaja bumbung dan atap ruang bilik rumah saya diterbangkan ribut dan kejadian ini menakutkan kami sekeluarga.

“Saya bersyukur semua ahli keluarga selamat dan reda dengan ujian Allah SWT ketika umat Islam sedang melaksanakan ibadah berbuka puasa,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Merapoh, Mohd. Podzi Saleh berkata, selepas kejadian itu beberapa buah rumah mengalami kerosakan kecil sahaja berbanding dua buah kediaman penduduk agak teruk yang memerlukan bantuan membaik pulih.

“Saya telah menghubungi Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad melaporkan kejadian ribut dan beliau telah menghantar wakilnya, Mohd. Zakwan Abdullah untuk meninjau kerosakan rumah hari ini bagi tujuan bantuan membaik pulih,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zakwan yang juga Pegawai Tugas-tugas Khas Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar berkata, usaha membantu mangsa yang rumahnya mengalami kerosakan akan dilakukan dengan segera untuk keselesaan penduduk beribadah di bulan Ramadan dan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Ahli Parlimen memberikan jaminan untuk membantu dengan segera mangsa berkenaan dan usaha sehabis baik bagi membaik pulih rumah yang rosak. Semoga mangsa terbabit tabah berdepan ujian Allah di bulan Ramadan ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN