Rampas tong LPG, peralatan pindah gas bernilai RM22,500 

Rampas tong LPG, peralatan pindah gas bernilai RM22,500 

MOHD. RIDZUAN AB. GHAPAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 30 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 50 kilogram (kg) setiap satu; 108 tong LPG seberat 14 kg serta beberapa peralatan yang digunakan untuk memindahkan gas dirampas oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri. 

Rampasan dengan nilai keseluruhan RM22,500 itu hasil satu serbuan kira-kira pukul 2.30 petang di sebuah kawasan lot tidak bernombor dalam kawasan kebun kelapa sawit itu di Bukit Minyak, di sini petang semalam.

Operasi itu digerakkan seramai 11 pegawai penguat kuasa agensi terbabit hasil risikan serta maklumat awam berhubung satu kejadian penyelewengan gas di situ. 

Pengarah PPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, ketika serbuan beberapa orang yang disyaki sedang menjalankan aktiviti penyelewengan gas itu bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa. 

“Hasil serbuan mendapati berlaku aktiviti penyelewengan gas LPG di dalam kawasan bertutup di kebun kelapa sawit terbabit. 

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan memindahkan gas LPG bersubsidi 14 kg itu ke dalam tong gas industri bersaiz 50 kg,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya memandang serius pelanggaran kelulusan lesen dan permit barangan kawalan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada pemilik perniagaan yang akhirnya boleh merugikan kerajaan dan rakyat. 

“Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak boleh melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala syarikat perbadanan pula boleh didenda tidak lebih daripada RM2 juta,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menggesa peniaga yang menjual atau menggunakan barang kawalan berjadual memastikan mempunyai lesen atau permit kebenaran yang dikeluarkan KPDNHEP dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas. 

“Para peniaga harus lebih peka perundangan melibatkan milikan barang kawalan berjadual bagi tujuan perdagangan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya