Rakyat Melaka boleh berbuka di padang, dataran, pantai - MBMB

Rakyat Melaka boleh berbuka di padang, dataran, pantai – MBMB

ZAINAL Abu mengadakan sidang akhbar selepas program Santuni Kasih Permata Hati sempena sambutan ulang tahun ke-18 Bandaraya Melaka Bersejarah di Hospital Melaka. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiada halangan untuk orang ramai berbuka puasa di tempat awam seperti padang, dataran atau tepi pantai di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Melaka Bersejarah (MBMB).

Memaklumkan perkara itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, kebenaran itu terpakai selagi masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya soal penjarakan sosial.

Beliau berkata, ia juga seiring dengan status negeri yang kini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membolehkan orang ramai melakukan aktiviti riadah dan sebagainya.

“MBMB tidak ada masalah nak benarkan jika ada yang ingin berbuka puasa di tempat-tempat tumpuan bersama keluarga. Di mana-mana pun tidak ada masalah.

“Cuma yang penting ialah SOP seperti memakai pelitup muka, membawa cecair sanitasi dan yang paling penting ialah penjarakan fizikal walau di mana anda berada,” katanya ketika ditemui selepas Program Santuni Kasih Permata Hati di Hospital Melaka di sini, hari ini.

Antara lokasi tumpuan orang ramai untuk dijadikan tempat berbuka puasa di negeri ini ialah Dataran Pahlawan, Banda Hilir; Pantai Dataran 1 Malaysia Klebang dan Dataran Ayer Keroh.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pahang tidak membenarkan acara berbuka puasa beramai-ramai di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 berhadapan Masjid Sultan Ahmad I, Kuantan, Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd. Rahim Muda berkata, keputusan itu bagi mengawal penularan Covid-19 sekali gus mengelak berlakunya kluster baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN