Rakyat Kelantan mungkin beraya dalam PKP - Dr. Izani

Rakyat Kelantan mungkin beraya dalam PKP

TAPAK Madinah Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu ditukar menjadi PKRC bagi menempatkan pesakit Covid-19 tidak bergejala.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin dikuatkuasakan kembali di Kelantan jika kes Covid-19 di negeri ini terus melonjak tinggi dengan mencatat tiga angka setiap hari.

Sekiranya itu berlaku, rakyat Kelantan sekali lagi terpaksa menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana PKP sebagaimana yang pernah dilalui pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, buat masa ini, kerajaan negeri terpaksa mengambil langkah drastik membatalkan bazar Ramadan dan bazar Aildilfitri tahun ini.

IZANI HUSIN

Sementara itu kata beliau, program tahunan Madinah Ramadan juga dibatalkan dan lokasi di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini telah ditukar menjadi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Katanya, kes Covid-19 di Kelantan dianggap serius apabila selama tiga hari berturut-turut, negeri ini mencatatkan tiga angka dengan jumlah terkumpul lebih 400 kes hanya dalam tempoh singkat tersebut.

Malah tambah beliau, kadar kebolehjangkitan pandemik itu di Kelantan kini melonjak tinggi 1.12 berbanding kebiasaan iaitu antara 0.7 hingga 0.8.

“Saya sebagai wakil kerajaan memohon maaf atas pembatalan bazar Ramadan dan Aidilfitri ini. Kita mengambil maklum mengenai peluang ekonomi rakyat dan setakat ini masih membenarkan mereka berniaga sama ada di restoran atau gerai tepi jalan.

“Sama ada PKP atau tidak, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan tentukan. Laporan semasa dihantar kepada MKN setiap hari untuk diteliti dan terpulang kepada MKN.

“Kalau kes terus mendadak tinggi, fasiliti hospital tidak mencukupi dan kadar kebolehjangkitan terus meningkat, boleh jadi kita ke arah itu (PKP),” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Susulan itu, Dr. Izani memberitahu kerajaan negeri akan memulangkan bayaran deposit kepada peniaga dan penjaja yang terlibat dalam Bazar Ramadan dan Bazar Aidilftri serta semua program-program kerajaan yang dibatalkan.

Mengulas lanjut situasi Covid-19 di Kelantan, Dr. Izani berkata, dengan kes meningkat begitu mendadak, keadaan fasiliti kesihatan seperti hospital dan PKRC di seluruh negeri kini kritikal apabila secara purata mencapai lebih 70 peratus kadar penggunaan.

“Ada hospital dan PKRC capai 80 peratus, malah ada yang sudah 100 peratus.

“Katakan kes ini meningkat tiga angka sehari dalam tempoh lima hari berturut-turut, maka semua fasiliti kita akan tepu. Keadaan ini sangat kritikal bagi Kelantan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya