Polis tahan lelaki ada kaitan kes surat kecam masjid di Bahau

Polis tahan lelaki ada kaitan kes surat kecam masjid di Bahau

HOO CHANG HOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang lelaki ditahan polis dipercayai suspek yang mempunyai kaitan dalam kejadian sepucuk surat bertulisan tangan yang dihantar ke Masjid Jamek Bahau dekat sini baru-baru ini dengan isi kandungan surat yang antaranya mengaitkan kehadiran jemaah ke masjid menjadi punca kes positif Covid-19 meningkat.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 55 tahun itu ditahan pada pukul 8.10 malam tadi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol yang melakukan serbuan ke sebuah rumah di Taman ACBE Bahau, dekat sini.

“Dalam tangkapan ini, pihak polis berjaya merampas beberapa helai kertas dan sampul surat yang disimpan dalam kabinet dapur dipercayai mempunyai kaitan mengecam Masjid Jamek, Bahau dan menghina Melayu. 

“Suspek merupakan bekas pekerja Kedai Lucky Kopitiam, Bahau, Jempol yang diberhentikan oleh majikannya kerana mempunyai masalah displin dan sering memarahi pelanggan kedai berkenaan. Tindakan suspek dipercayai kerana tidak berpuas hati terhadap majikannya kerana dirinya telah diberhentikan kerja, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 21 April lalu, media melaporkan kejadian kandungan surat itu yang isi kandungannya mempersoalkan bunyi kuat di masjid setiap hari dan ramai orang berkumpul di masjid yang menjadi punca peningkatan kes Covid-19.

Kejadian tersebut juga tular dalam media sosial dan surat itu turut mengaitkan seorang pemilik restoran di Bahau dekat sini.

Pihak jawatankuasa masjid telah membuat laporan polis dan laporan polis dari pemilik restoran berkenaan juga diterima yang menafikan dakwaan penglibatannya.

Sementara itu, tambah Chang Hook, semasa tangkapan ke atas suspek, pihak polis juga telah menemui bukti fizikal berkaitan salinan beberapa surat berkenaan di dalam rumahnya.

“Suspek akan direman untuk tindakan selanjutnya. Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

“IPD Jempol menasihati orang awam supaya tidak tularkan kes berkenaan melalui media sosial yang boleh menganggu siasatan polis ke atas kes tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya