PKPD di 2 sekolah, 3 kampung, 5 taman perumahan

PKPD di 2 sekolah, 3 kampung, 5 taman perumahan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tujuh lokaliti berbeza di seluruh negara bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari serentak mulai esok sehingga 1 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan dan Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu, Sabah susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan tinggi. 

Turut dikenakan PKPD ujar beliau, ialah tiga taman perumahan di Daerah Tawau, Sabah iaitu di Taman Hilltop, Taman Bukit Bintang, Taman Berkley ekoran 27 kes positif sudah direkodkan.

Tidak ketinggalan ialah tiga lokaliti di Daerah Lahad Datu, Sabah meliputi Kampung Bikang, Kampung Kadumu dan Taman Khazanah Indah dengan 13 kes positif dilaporkan.

Dalam pada itu jelas beliau, dua lokaliti berlainan di Sarawak juga dikenakan PKPD iaitu kawasan Taman Mesra, Bako, Bahagian Kuching dan Kampung Tengah, Bahagian Betong.

“PKPD di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sebelum ini hanya melibatkan tiga kolej kediaman, bakal diperluaskan lagi di seluruh kampus induknya di Kota Kinabalu dilanjutkan lagi selama dua minggu bermula 19 April sehingga 2 Mei depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun ujar beliau, ada juga beberapa lokaliti di seluruh negara ditamatkan PKPD antaranya Kampung Pagalungan Ansip, Daerah Keningau dan Kampung Kalindukan, Daerah Nabawan, Sabah setelah baki kes aktif menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal.

Beliau menambah, begitu juga tiga kawasan perumahan dan dua perkampungan terletak di Daerah Pekan, Pahang yang dijadualkan pada 22 April, namun ditamatkan serentak hari ini melibatkan Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Perkampungan Peramu Jaya 3, Taman Sepekan Makmur, Kampung Pulau Serai ekoran hanya 17 kes Covid-19 yang direkodkan.

Namun jelas beliau lagi, PKPD di Pusat Komuniti Bersepadu Pulau Serai di Daerah Pekan, Pahang masih berkuat kuasa sehingga 22 April sebagaimana yang dijadualkan sebelum ini.

Ismail Sabri turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membabitkan Daerah Keningau, Sabah bermula 22 Mac lalu, akan ditamatkan esok seperti dijadualkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN