PKP 2: Hotel di Kelantan sempat bangkit 3 hari sahaja

PKP 2: Hotel di Kelantan sempat bangkit tiga hari sahaja

KEMERIAHAN Bufet Warisan Rasa Ibunda Iftar Ramadan di Hotel The Grand Renai, Kota Bharu hanya mampu bertahan tiga hari sahaja akibat PKP. – FOTO/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Strategi hotel-hotel utama di bandar ini cuba bangkit semula menjana pendapatan dengan menawarkan pakej bufet Ramadan dilihat ‘menjadi’ apabila mendapat sambutan menggalakkan orang ramai sejak hari pertama puasa.

Bagaimanapun, sektor itu sempat bangkit sehingga hari ketiga Ramadan sahaja, sebelum ‘terduduk’ semula hari ini, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh daerah termasuk Kota Bharu sehingga 29 April depan.

Memandangkan aktiviti makan di premis termasuk buffet tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP, hotel-hotel terbabit tidak ada pilihan kecuali menangguhkan penganjuran bufet Ramadan masing-masing.

Penangguhan itu diumumkan menerusi akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram rasmi hotel-hotel tersebut sejak pagi ini, sekali gus mengundang rasa kecewa dalam kalangan pelanggan yang membuat tempahan awal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel The Grand Renai, Raja Rusmin Raja Mahmud berkata, akibat penangguhan itu, pihaknya menanggung kerugian yang dianggarkan mencecah RM10,000 sehari.

“Perkara ini agak mengejut, tambahan pula kami sudah beli bekalan barang mentah  seminggu lebih awal. Walaupun terkilan, kami terpaksa tangguhkan Bufet Warisan Rasa Ibunda Iftar Ramadan sehingga pada tarikh dimaklumkan kelak.

“Sejujurnya kami sudah mati akal. Bufet ini merupakan satu cara untuk pihak hotel menjana pendapatan semula selepas terjejas teruk berbulan-bulan akibat ketiadaan tempahan bilik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Raja Rusmin, bagi mengurangkan kerugian dan risiko gulung tikar, pihaknya akan cuba menjual pelbagai makanan tradisi rakyat Kelantan sebagai juadah berbuka secara pandu lalu di pekarangan luar lobi Hotel The Grand Renai bermula petang ini.

Sementara itu, Penolong Pengurus Jualan dan Perhubungan Awam Holiday Villa Hotel & Suites Kota Bharu, Aminah Munirah Ahmad Hishamuddin berkata, walaupun dimaklumkan dua hari lebih awal, PKP kali ini masih dianggap berlaku pada saat-saat akhir.

“Beberapa hari sebelum pengumuman PKP, kami mengeluarkan modal besar bagi membeli barangan mentah serta kelengkapan lain seperti khemah besar yang dipasang di luar hotel khusus untuk acara bufet.

“Hari ini bermula pukul 3 hingga 7 petang, kami akan buat jualan pandu lalu. Memang tak dapat nak tampung kerugian tetapi ini sahaja cara supaya kami dapat menjana pendapatan bagi tempoh dua minggu akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya