RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu merampas 9.79 tan beras siam pelbagai jenama di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Limau Purut, Tanah Merah, awal pagi ini.
Rampasan beras pada pukul 2 pagi itu membabitkan nilai keseluruhan RM39,164.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintenden Nor Azizan Yusof berkata, selain itu, pihaknya turut merampas beras pulut seberat 825 kilogram bernilai RM5,755 yang disembunyikan di lokasi sama.
Kata beliau, kejayaan itu adalah hasil maklumat awam di samping intipan oleh anggota di lokasi dan pihaknya kini sedang giat mengesan pemilik rumah berkenaan bagi membantu siasatan.
“Untuk makluman, taktik menjadikan rumah sebagai transit ini dikesan sejak tahun lalu bagi mengaburi mata anggota penguat kuasa.
“Hasil pemerhatian yang kita buat, kesemua rumah ini terletak jauh dari kawasan kediaman penduduk lain dan laluan masuk merupakan jalan mati,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Taktikal PGA Lubok Stol, di sini hari ini.
Nor Azizan memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua beras itu dibawa masuk ke negara ini menggunakan lorong tikus dan pangkalan haram yang terdapat di sekitar Sungai Golok.
Katanya, selepas berjaya dibawa masuk, kesemua beras tersebut dikumpulkan terlebih dahulu di rumah yang dalam pembinaan terbabit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, selang sejam 30 minit kemudian, PGA turut merampas 380 pasang seluar jeans tiruan bernilai RM28,600 di tepi jalan dekat Taman Perumahan Rantau Mas, di sini.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu katanya, anggota PGA menemukan bungkusan guni yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan tanpa pemilik di lokasi tersebut.
“Pemeriksaan lanjut ke atas guni itu membawa kepada penemuan ratusan pasang seluar jeans tiruan,” katanya. – UTUSAN ONLINE