Pewangi tiruan seludup cecah harga RM400 di Thailand

Pewangi tiruan cecah RM400 di Thailand

AZIZAN Saman (tengah) menunjukkan pewangi tiruan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di RPA Padang Besar Utara, Padang Besar, dalam sidang akhbar di pejabat Aksem Padang Besar, Perlis hari ini.- FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Pewangi tiruan yang diseludup ke Thailand dikatakan boleh dijual sehingga RM300 hingga RM400 seunit mengikut jenama terkenal dunia itu.

Bagaimanapun, cubaan menyeludup pelbagai jenama barangan kosmetik dan pewangi tiruan itu tidak kesampaian apabila Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis berjaya merampas barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM177,090 dalam serbuan di sebuah rumah di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Padang Besar Utara, di sini semalam.

Seorang individu berusia dalam lingkungan 50-an turut ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang itu.

Antara jenama pewangi dan kosmestik tiruan yang dirampas itu terdiri daripada jenama Hugo Boss, Chanel, Tommy Hilfiger, Paris Hilton dan pelbagai lagi jenama popular lain.

Barang kosmetik tersebut dipercayai tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Azizan Saman berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas menerima maklumat dan hasil risikan oleh anggota selama seminggu.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, pihaknya menemukan beberapa kotak berisi barangan kosmetik dan pewangi tiruan pelbagai jenama itu.

“Siasatan awal mendapati, suspek sudah menjalankan aktiviti tersebut kira-kira setahun dan bekalan itu dipercayai diperolehi dari Kuala Lumpur dan dibawa ke Perlis menggunakan lori.

“Pewangi tiruan ini dijual di Thailand pada harga barang tulen iaitu boleh mencecah sehingga RM300 hingga RM400 meskipun harga modal yang dijual di negara ini hanya antara RM60 hingga RM80,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Aksem Padang Besar, di sini hari ini.

Tambah Azizan, barangan berkenaan dipercayai akan diseludup ke Thailand bersama barang dagangan lain seperti makanan secara berperingkat.

“Pengedaran barangan ini ke Thailand akan dilakukan ejen yang akan membawa barangan keperluan dan runcit yang sah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Tambah beliau, suspek diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Racun 1952 bagi barangan kosmetik tanpa kelulusan manakala rampasan pewangi pula diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya