IPOH: Seorang penternak ikan sangkar kerugian hampir RM7 juta selepas 280 sangkar ternakannya pecah dan dihanyutkan arus deras Sungai Perak dipercayai angkara perbuatan khianat dalam kejadian di sini pada Isnin lalu.
Heng See Yong, 33, berkata, kejadian pada kira-kira pukul 5 petang itu menyebabkan hampir kesemua ikan ternakannya kira-kira 500 tan terlepas ke dalam sungai manakala sebahagian besar daripada 280 buah sangkar ternakannya pecah.
Menurutnya, dia menternak ikan tilapia, patin, jelawat, jelai dan baung serta termasuk sangkar yang musnah. Dia menganggarkan rugi RM7 juta akibat kejadian itu.
“Sangkar saya hanyut dan pecah disebabkan tali pengikat sangkar terputus. Saya rasa talinya dipotong sebab saya guna 10 tali untuk mengikat sangkar daripada dihanyutkan arus deras.
“Mana mungkin semua tali putus sekali gus, lagipun saya guna tali yang besar, kalau terputus pun mungkin satu atau dua sahaja tak mungkin semua sekali terputus. Kejadian ini pertama kali berlaku sejak 11 tahun saya mengusahakan ternakan ini.
“Saya sudah buat laporan polis dan menunggu polis menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
See Yong berkata, ketika kejadian, arus sungai deras dan dia yang dibantu 13 bot rakan-rakannya yang lain cuba menyelamatkan sangkar yang hanyut, namun usaha mereka gagal kerana sangkar terlalu besar.
“Mungkin hanya lima peratus sahaja ikan dan sangkar yang hanyut dapat diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, See Yong kesal terhadap mereka yang mengambil kesempatan mengambil ikan daripada sangkarnya yang pecah ketika kejadian.
Menurutnya, ada di antara mereka yang menyauk ikan dari sangkarnya sehingga memenuhi sampan.
“Orang kutip ikan, kita tak boleh buat apa-apa pada masa itu walaupun ikan belum terlepas ke sungai tetapi mereka naik atas sangkar dan sauk ikan.
“Kita cuma tahan mereka saja tapi mereka tak dengar malah semakin ramai yang datang menyauk ikan dalam sangkar, ada yang ambil sampai 300 kilogram,” katanya. – UTUSAN ONLINE