KPDNHEP Johor beri masa kepada peniaga, pembekal patuhi SHMMP

Peniaga, pembekal diberi masa patuhi SHMMP

CHONG Fat Full (kiri) bersama Mohd. Hairul Anuar Bohro (tengah) memantau harga ayam di sebuah pasar raya di Johor Bahru. - FOTO/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor masih memberi masa kepada peniaga dan pembekal untuk mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 sebelum dikenakan tindakan tegas.

Meskipun begitu, mereka diingatkan agar tidak sewenang-wenang menaikkan harga sesuka hati kerana terdapat kira-kira 200 anggota penguat kuasa akan memerhati tingkah laku peniaga menerusi pemantuan dan pemeriksaan yang dibuat setiap masa.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, tempoh ‘berlembut’ itu diberikan ekoran masih terdapat peniaga yang gagal mematuhi harga baharu yang disyorkan.

Katanya, pada peringkat awal pihak KPDNHEP akan memberi peringatan kepada mereka sebelum mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. 

“Kita mempunyai kira-kira 200 penguat kuasa di seluruh negeri yang akan membuat pemantauan dan pemeriksaan setiap hari. Jadi, kita ingatkan agar peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati.

“Kita bukan suka-suka untuk mengeluarkan kompaun kepada mereka, namun jika mereka masih berdegil maka kita tidak ada pilihan lain,” katanya selepas membuat pemantauan harga di sebuah pasar raya bersama Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro di sini, hari ini. 

Minggu lalu kerajaan memperkenalkan SHMMP 2021 yang menetapkan harga terkawal terhadap 12 jenis barangan bagi pelaksanaannya termasuk ayam, telur ayam, daging dan hasil laut yang dikuatkuasakan lebih awal berbanding sebelum ini.

Sementara itu, hasil tinjauan yang dibuat di beberapa pasar awam mendapati peniaga daging lembu tempatan dan sejuk beku masih menjual pada harga lama iaitu RM40 sekilogram berbanding harga baharu RM34 yang disyorkan dalam SHMMP 2021.

Rata-rata peniaga memberi alasan bahawa pihak pemborong turut menjual pada harga tinggi iaitu RM38 melebihi harga borong yang ditetapkan pihak kerajaan. 

Mengulas perkara itu, Fat Full memberitahu, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan daripada orang awam mengenai perkara tersebut dan akan membuat siasatan terlebih dahulu. 

Katanya, peniaga juga boleh mẹmbuat aduan sekiranya mereka menjadi mangsa keadaan disebabkan tindakan pembekal menaikkan harga sewenang-wenangnya. 

“Kita bukan sahaja menjaga kepentingan pengguna malah turut mengambil kira soal peniaga. Sekiranya mereka terbeban disebabkan pembekal, mereka juga boleh tampil untuk membuat aduan.

“Kita akan siasat rantaian ini daripada peniaga, pembekal hinggalah ke penternak. Kita akan pastikan semua pihak dapat mematuhi harga yang ditetapkan kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN