PETALING JAYA: Kira-kira 60 penduduk Padang Terap menerima rumah baharu di bawah inisiatif Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek bantuan perumahan itu dibina dengan kos bernilai RM9.5 juta.
“Bantuan perumahan ini saya fikir amat bermakna buat penduduk khususnya golongan kurang mampu untuk memiliki rumah kediaman yang selesa.
“Kerajaan memang sentiasa mencari jalan dan berusaha untuk melihat rakyat hidup dalam suasana yang selesa dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan replika kunci rumah kepada 60 penduduk perumahan Taman Desa Pudina, Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kubang Kenyeng, Padang Terap hari ini.
Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang juga Pengerusi KEDA; ADUN Pedu, Mohd Radzi Md Amin; ADUN Kuala Nerang, Munir Mohamad Yusof Zakaria; Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md. Shuhaime Abdul Rahman dan Pengurus Besar KEDA, Kamaruddin Abd. Akib.
Tambahnya, projek perumahan itu dilaksanakan bermula pada tahun 2017 dan kini sedia untuk didiami oleh penduduk yang terpilih.
“Syukur projek bantuan perumahan ini berjaya disiapkan tepat pada masanya lebih-lebih lagi menjelang kita nak menyambut bulan Ramadan dan juga Aidilfitri tidak lama lagi, sekali gus membolehkan mereka yang menerima sumbangan rumah ini mendudukinya sebelum menjelang tiba Ramadan dan Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN ONLINE