IPOH: Seorang pemilik rumah kedai bukan sahaja berputih mata apabila penyewanya melarikan diri, malah terpaksa menanggung saman daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencecah puluhan ribu apabila premis tersebut dijadikan lombong kegiatan bitcoin dengan melakukan pendawaian secara haram.
Lebih memeranjatkan, disebabkan saman berjumlah RM30,000 itu dia telah dikenakan tindakan oleh Mahkamah Majistret Ipoh melalui peguam yang dilantik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melelong kelengkapan rumahnya bagi melunaskan hutang.
Mangsa, Teng Hwa Ling, 51, berkata, dia menyewakan ruang kedai yang terletak di Medan Stesen 19/4, Stesen 18 di sini kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Tay Koon Kwan melalui sebuah syarikat ejen hartanah pada September 2018 dengan bayaran RM500 sebulan.
Kata ahli perniagaan itu, dia diberitahu ejen bahawa lelaki tersebut hendak menyewa premisnya yang terletak di aras satu rumah kedai tersebut bagi menjalankan perniagaan membaiki komputer.
“Semuanya berjalan lancar sehinggalah apabila TNB mengeluarkan saman terhadap premis tersebut kerana tindakan mencuri elektrik pada tahun 2019 manakala penyewa tidak dapat dihubungi.
“Saya terkejut apabila mendapati meter elektrik telah dirosakkan manakala ruang dalam premis dipasang dengan perkakasan elektrik dipercayai bagi kegiatan melombong matawang Bitcoin. Penyewa itu juga telah melakukan penyambungan haram.
“Susulan itu saya telah membuat laporan polis dan aduan kepada TNB, malangnya saman tetap dikenakan atas dakwaan kerosakan yang dilakukan penyewa serta kerugian yang ditanggung oleh TNB,” ujarnya pada sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak, di sini hari ini.
Kata Hwa Ling, pihak guaman yang dilantik TNB telah menghantar notis tuntutan sebanyak RM30,000 pada Jun 2019, lantas dia menghubungi Ibu Pejabat TNB di Kuala Lumpur dan diberitahu agar mengemukakan rayuan.
“Sepanjang proses rayuan tersebut TNB memaklumkan agar saya tidak bimbang dengan notis guaman, malangnya saya terkejut bila menerima notis tindakan mahkamah dan melelong pada Mac tahun lalu menyebabkan saya buntu,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak, Low Guo Nan berkata, pihak Suruhanjaya Tenaga Malaysia wajar memandang serius perkara berkenaan terutamanya tentang nasib pemilik premis.
“Ini adalah kes penganiayaan kerana pemilik premis tidak tahu, malah semasa pemeriksaan dilakukan TNB juga tidak memaklumkan kepada mangsa untuk hadir sama sebagai saksi sedangkan dia boleh dihubungi.
“Selain itu, pihak polis dan TNB perlu melakukan siasatan dalang aktiviti perlombongan bitcoin ini untuk diambil tindakan. TNB juga ada tanggungjawab menaik taraf keselamatan kotak elektrik pada premis dari semasa ke semasa supaya pemilik bangunan tidak menanggung risiko atas tuduhan sebegini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE