JOHOR BAHRU: Pemilihan UMNO yang ditunggu-tunggu pada tahun ini tidak akan memecah belahkan perjuangan parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Baik dilakukan awal atau dilanjutkan ke hujung tahun ini, Hasni melihat ia tidak akan mendatangkan masalah buat parti yang berpengalaman luas untuk mengikut ketetapan dibuat.
Ketua Bahagian UMNO Pontian itu berkata, pelbagai pandangan dilontarkan ahli berkenaan pemilihan parti termasuk ada yang mahu tarikh pemilihan dipercepatkan bukanlah isu baharu.
“Mengikut perlembangan UMNO, setiap tiga tahun parti perlu mengadakan pemilihan. Perlembagaan juga membenarkan lanjutan selama 18 bulan atas sebab-sebab yang khusus seperti tahun-tahun pilihan raya, berlaku bencana dan sebagainya.
“Oleh itu, saya melihat tiada masalah dari segi pematuhan ketetapan yang dibuat atau terkandung dalam perlembagaan parti,” katanya pada Program Sayangi Sungai Skudai sempena Hari Air Sedunia peringkat Negeri Johor di Loji Air Skudai, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hasni yang merupakan Menteri Besar berharap ahli UMNO dapat memahami perlembagaan parti agar tidak berlaku sebarang permasalahan dari segi pematuhan ketetapan yang dibuat berhubung pemilihan parti.
“UMNO sudah 75 tahun, dulu berlaku pemilihan yang sengit melibatkan tokoh-tokoh yang besar dalam parti. UMNO langsung tidak gentar berdepan dengan pertandingan sengit mana pun.
“Meskipun berlaku percanggahan pandangan dalam kalangan ahli, saya yakin pemilihan UMNO yang dijangka diadakan pada hujung tahun ini tidak akan memecah belahkan parti,” katanya.
Pada Sabtu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemilihan UMNO dijangka diadakan pada hujung tahun ini, namun tarikh sebenar pemilihan bergantung kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengikut perlembagaan parti, ujar Mohamad, mereka mempunyai tempoh sehingga 18 bulan untuk menangguhkan pemilihan, namun UMNO tidak akan menunggu selama itu memandangkan presiden telah menegaskan bahawa pemilihan akan diadakan pada tahun ini.
Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan pada tahun lalu selaras dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020 namun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE