Pemain muda Kedah boleh diharap - Aidil - Utusan Malaysia

Pemain muda Kedah boleh diharap – Aidil

PEMAIN Kedah menjalani latihan di Alor Setar baru-baru ini menjelang pertemuan dengan Melaka United malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Selepas mengharungi 10 perlawanan Liga Super sebelum ini, Kedah belum sekali pun berpeluang untuk menurunkan barisan penuh akibat kecederaan dan penggantungan yang bersilih ganti.

Begitu pun skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu jelas mampu memberi saingan terbaik apabila kini berada di kedudukan ketiga liga dengan ketinggalan hanya tiga mata di belakang pendahulu, JDT.

Jelas, faktor pemain muda berkualiti yang boleh diharap seperti Fayadh Zulkifli, Fairuz Zakaria, Fadzrul Danel serta Muhammad Faizat Mohamad Ghazali banyak memainkan peranan dalam menampung ketiadaan pemain-pemain senior itu.

Hakikat itu diakui Aidil, yang cukup senang dengan sikap ditunjukkan pemain mudanya setiap kali menjalani latihan.

“Saya fikir antara perkara yang membuat pemain-pemain muda ini berkembang dengan cepat kini adalah kerana masing-masing sentiasa ‘enjoy’ dan tidak terlalu tertekan dengan latihan diterapkan.

“Dan paling penting pemain-pemain senior sentiasa melayan mereka dengan cara yang betul termasuk sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar membuatkan masing-masing merasa selesa serta mahu bekerja keras untuk pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

AIDIL SHARIN SAHAK

Katanya, para pemain tersebut sentiasa mengambil peluang untuk menampilkan yang terbaik setiap kali diberi ruang beraksi dan perkara iatu merupakan sesuatu yang amat menggembirakannya.

“Pemain-pemain muda ini perlu seniasa percaya yang mereka mampu pergi jauh. Cumanya mereka perlu sentiasa konsisten dan tidak merasa diri masing-masing lebih baik daripada pemain-pemain lain hanya kerana telah menampilkan aksi cemerlang dalam satu atau dua perlawanan.

“Tetapi inilah tugas kami sebagai jurulatih untuk memberi sentiasa mengingatkan mereka supaya sentiasa kekal merendah diri. Dalam masa sama, teruskan bekerja keras dalam latihan supaya perkara itu akan dibawa ke dalam perlawanan sebenar,” katanya.

Sementara itu bagi pemain senior Mohd. Azamuddin Akil, dia percaya betapa kalangan ‘adik-adiknya’ itu mampu melangkah jauh termasuk mengikut jejaknya bagi berbakti dalam skuad kebangsaan, satu hari nanti.

“Mereka ini saya sifatkan sebagai ‘fighter’ dan sentiasa memiliki semangat untuk menang. Bukan saja dalam perlawanan, malah ketika kami menentang sesama sendiri dalam aksi latihan pun, masing-masing menunjukkan sifat tak mahu mengalah.

“Itu sifat yang baik untuk seorang pemain bola sepak. Anda boleh lihat bagaimana kami telah beberapa kali ketinggalan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini tetapi pemain-pemain muda tampak tidak berputus asa berusaha hingga membantu pasukan untuk mencatat kejayaan pada akhirnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya