SHAH ALAM : Sebanyak 500 bungkus bubur lambuk dan 100 bungkusan air minuman diagihkan kepada orang ramai yang mengunjungi Bazar Ramadan Stadium Malawati di sini, semalam.
Program anjuran syarikat perkhimatan penghantaran, Tapaw Groups Sdn. Bhd itu dibuat dengan hasrat mengeratkan silaturahim antara pasukan pemandu Tapaw dengan komuniti setempat sempena Ramadan kali ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Anuar A Rahman, program ini juga berlangsung serentak di seluruh negara dengan melibatkan pemandu-pemandu Tapaw termasuk pasukan belakang tabir syarikat perkidmatan penghantaran tersebut.
“Pengagihan bubur lambuk ini juga adalah sebagai sebahagian daripada cara kami untuk memberi semula kepada komuniti yang selama ini menyokong.
“Selain itu, dalam masa yang sama dapatlah kami mempromosi perkhidmatan penghantaran ini kepada masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Anuar lagi, selain agihan bubur lambuk, pihaknya juga menerapkan aktiviti amal lain bersama pasukan pemandunya dan ia dilakukan secara rutin pada setiap bulan dan tidak cuma dilakukan ketika bulan puasa sahaja.
“Ada antaranya termasuk aktiviti gotong royong membersihkan masjid, aktiviti bersama anak yatim dan macam-macam lagi. Ia juga dilakukan secara serentak di semua negeri,” katanya.
Aplikasi Tapaw adalah platform yang menyediakan perkhidmatan logistik dan penghantaran pantas dan meluas dengan pelbagai jenis kenderaan yang beroperasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, di bandar dan juga di luar bandar.
Habis