Pantau peniaga warga asing di Pasar Borong Ipoh

Pantau warga asing di Pasar Borong Ipoh

AZRUL Suhadi Ahmad Mokhtar (depan, dua dari kanan) menunjukkan memorandum mendesak pihak berkuasa membuat pemeriksaan terhadap ramai warga asing yang digajikan sebagai pekerja di Pasar Borong Ipoh, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Imigresen diminta membuat pemeriksaan di Pasar Borong Ipoh di sini yang didakwa mempunyai ramai warga asing yang digajikan sebagai pekerja.

Wakil Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, selain warga Bangladesh, etnik Rohingya juga didapati bekerja di pasar berkenaan.

Menurutnya, ada antara warga asing yang digajikan itu dipercayai bekerja tanpa permit kerja yang sah.

“Kita dapat maklumat, rata-rata warga asing yang bekerja di sini merupakan etnik Rohingya. Ada antara mereka bekerja tanpa permit yang sah.

“Kita minta MBI dan Jabatan Imigresen untuk lihat apa yang berlaku di sini. Pemeriksaan dan pemantauan berterusan perlu dilakukan bagi memastikan pasar borong ini bebas daripada gejala tidak sihat termasuk melibatkan warga asing,” katanya dalam sidang akhbar di Pasar Borong Ipoh di Menglembu, di sini hari ini.

Azrul Suhadi yang juga Setiausaha Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada MBI berkaitan permasalahan tersebut bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Katanya, selain isu membabitkan pekerja warga asing, masalah lain yang turut diutarakan dalam memorandum itu adalah melibatkan peniaga tanpa lesen di pasar borong berkenaan. 

Katanya, sekiranya masalah peniaga tanpa lesen itu tidak diatasi, ia akan menjejaskan peluang perniagaan khususnya bagi peniaga Bumiputera.

“Antara alternatif lain untuk peniaga Bumiputera ini adalah dengan membuka pasar borong baharu untuk mereka yang pastinya akan meningkatkan ekonomi golongan tersebut,” katanya.

Difahamkan, terdapat 298 peniaga di pasar berkenaan di mana hanya 58 peniaga terdiri daripada peniaga Bumiputera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya