Padah memancing di Taman Laut, 15 ditahan Jabatan Perikanan

Padah memancing di Taman Laut, 15 ditahan

VESSEL yang ditahan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam kawasan taman laut di Pantai Pulau Aur, Mersing, Johor. - IHSAN JABATAN PERIKANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Tindakan tekong dua buah vessel membawa 12 pemancing tempatan menangkap ikan di kawasan Taman Laut di Pantai Pulau Aur, di sini membawa padah apabila mereka ditahan Jabatan Perikanan negeri, awal pagi ini.

Kedua-dua vessel penangkapan ikan zon A itu ditahan Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber jabatan berkenaan kira-kira pukul 3 pagi .

Menurut Pengarah Perikanan negeri, Noraishah Hashim, tangkapan itu dilakukan ketika rondaan rutin pemantauan vessel pantai timur yang dijalankan di perairan Johor Timur oleh cawangan terbabit.

Katanya, menjadi kesalahan di bawah Seksyen 43, Akta Perikanan 1985 yang melibatkan aktiviti mengambil, mengalih atau memiliki haiwan akuatik dalam kawasan taman laut yang diwartakan.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati dua vessel penangkapan ikan zon A yang membawa pemancing tempatan itu telah menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam kawasan taman laut. 

“Vessel pertama yang ditahan di kedudukan 0.5 batu nautika daripada Pantai Pulau Aur dikendalikan seorang tekong berumur 62 tahun dan enam pemancing tempatan berumur sekitar 49 tahun sehingga 75 tahun.

“Manakala, vessel kedua ditahan 0.6 batu nautika daripada pantai sama yang terdiri seorang tekong berumur 56 tahun, seorang awak-awak berusia 48 tahun dan enam pemancing berumur 34 tahun sehingga 58 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noraishah berkata, kedua-dua vessel terbabit ditahan bersama peralatan menangkap ikan dan akan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Perikanan 1985. 

Tambahnya, Jabatan Perikanan negeri mengingatkan nelayan agar sentiasa mematuhi syarat lesen supaya tidak menjejaskan sumber perikanan negara yang perlu diurus secara lestari.

“Taman Laut Johor telah diwartakan di bawah Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia mulai 1994. Diharapkan semua pihak mengambil tahu tentang kepentingan kewujudan taman laut dan tidak sewenangnya melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya