KUANTAN: Seorang nelayan yang berenang ke daratan setelah melabuhkan botnya berhampiran sebuah resort di Pantai Sungai Ular dekat sini, dikhuatiri lemas kira-kira pukul 4 petang hari ini.
Mangsa, Mohd. Shahrudin Rameli, 25, dikatakan turun ke pantai sebagai persiapan untuk turun menangkap ikan keesokkannya.
Abangnya, Mohd. Rozli, 40, berkata, ketika kejadian adiknya turun ke pantai berseorangan kerana sudah menjadi rutin mereka melabuhkan bot di kawasan dalam bagi mengelak bot tersadai ketika air laut surut.
“Dia bersama saya ketika itu namun dia turun ke pantai untuk melabuhkan bot kerana esok pagi kami akan keluar ke laut bersama.
“Namun selepas beberapa minit dia tidak muncul semula dan kelibatnya juga tidak nampak membuatkan saya berasa bimbang dan tidak sedap hati lantas turun ke pantai mencarinya.
“Kemudian ada juga bertanyakan kepada nelayan lain yang melalui kawasan itu namun tidak ada seorang pun melihatnya… bimbang sesuatu buruk berlaku kepadanya saya terus memaklumkan kepada orang kampung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Anuar Hassan berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan daripada MERS 999 berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.57 petang dan sepasukan anggota dari Balai Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.
“Maklumat awal mendapati mangsa terjun dari bot untuk berenang ke pantai namun dipercayai mengalami kekejangan otot dan tenggelam.
“Operasi berkenaan melibatkan 12 anggota bomba dengan tambahan bantuan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam.
“Pencarian tertumpu di sekitar kawasan berkenaan namun mangsa masih belom ditemui. Operasi pencarian ditangguhkan kira-kira pukul 7.10 malam dan akan disambung semula esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE