Mersing tertinggi salah guna dadah - Hasni Mohammad

Mersing tertinggi salah guna dadah

HASNI Mohammad mengadakan sesi interaksi para pelajar secara maya di Majlis Perasmian Kick Start Program Mekar di UTM, Skudai di Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Daerah Mersing mencatatkan kes tertinggi penyalahgunaan dadah berdasarkan nisbah lebih 1,500 daripada setiap populasi 100,000 penduduk di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, jumlah itu amat membimbangkan apabila menunjukkan julat perbezaan ketara berbanding daerah lain serta mencatatkan peningkatan melebihi nisbah kebangsaan iaitu 450 kes bagi setiap 100,000 penduduk.  

“Menerusi perangkaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), kadar prevalens berdasarkan populasi per 100,000 penduduk mencatatkan jumlah lebih 1,500 penagih di daerah itu.

“Memandangkan Mersing adalah kawasan kecil yang mempunyai profil masyarakat berlatar belakang sebagai nelayan, ini satu angka yang membimbangkan,” katanya selepas melancarkan program Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (Mekar) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini.

Hasni berkata, menerusi program Mekar, ia dilihat dapat memastikan generasi muda mendapat kesedaran awal dan mencegah daripada terbabit dalam sebarang bentuk jenayah.

“Kita perlu buat sesuatu bukan hanya daripada sudut pendidikan, malah perkara lain yang menyumbang kepada isu berkenaan terutama dalam kalangan golongan muda,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi pemutihan dijalankan Bahagian Narkotik hampir setiap minggu bagi menangani isu penyalahgunaan dadah di setiap daerah di negeri ini. 

Beliau berkata, berdasarkan landskap masyarakat di daerah itu, jenis dadah yang digunakan oleh masyarakat di daerah itu adalah dadah jenis syabu dan methamphetamine. 

“Kalau untuk nelayan ini biasanya guna untuk memberi tenaga ketika bekerja. Bagi remaja pula, mungkin mereka ini terikut-ikut dengan perbuatan ibu bapa. 

“Jika aspek kesedaran mahupun aspek pemulihan tidak ditekankan, isu dadah tidak akan habis. Pentingnya elemen Mekar di peringkat akar umbi,” katanya.

Pada program itu, lebih 500 sekolah menyertai program berkenaan secara atas talian bagi mendapat pendedahan bimbingan serta nasihat pencegahan jenayah ke arah pembinaan masyarakat yang aman dan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN