MBSA sedia 294 tong RORO percuma sempena Aidilfitri

MBSA sedia 294 tong RORO percuma sempena Aidilfitri

TONG RORO MBSA akan ditempatkan di lokasi strategik sempena kerja pembersihan rumah sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini. - FOTO/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bagi memastikan persiapan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba dalam suasana kediaman yang bersih, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan tong Roll On Roll Off (RORO) untuk orang ramai melupuskan sampah pukal.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, perkhidmatan tong RORO tersebut adalah untuk memudahkan orang ramai melupuskan sampah pukal seperti perabot lama, almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri, telefon bimbit dan sebagainya. 

“Sebanyak 294 buah tong RORO bersaiz tiga tan akan diletakkan di kawasan sekitar Shah Alam iaitu di Seksyen 1 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20.

“Perkhidmatan yang disediakan secara percuma ini akan bermula dari 26 April hingga 11 Mei depan yang mana kesemua tong RORO ditempatkan di lokasi yang sesuai secara berperingkat untuk kemudahan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahrin berkata, tujuan utama pelaksanaan perkhidmatan tong RORO tersebut adalah untuk memberikan kemudahan kepada penduduk melaksanakan aktiviti gotong-royong secara persendirian di setiap kediaman masing-masing. 

Jelasnya lagi, penyediaan perkhidmatan khas itu juga bertujuan mendidik warga Shah Alam untuk menguruskan sampah pukal dengan cara yang sistematik.

“Pihak MBSA berharap penduduk bandaraya ini memberikan kerjasama dengan meletakkan sampah pukal tersebut di dalam tong RORO yang disediakan dengan teratur bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar agar berada dalam keadaan bersih dan selesa,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan tong RORO, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MBSA di talian 035510 5133 sambungan 1316. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN