LUMUT: Mayat lelaki disyaki salah seorang nelayan yang dilaporkan hilang Sabtu lalu ditemukan terapung tidak jauh dari Pulau Dua, dekat Pulau Pangkor semalam.
Mayat dipercayai warga Myanmar itu ditemui nelayan tempatan di kedudukan lebih kurang 2.6 batu nautika selatan Pulau Dua pada pukul 11 pagi.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, mayat itu kemudian dibawa oleh Kapal Maritim (KM) Tugau ke Jeti Kastam Diraja Malaysia, Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan susulan.
“Pemilik bot iaitu majikan mangsa telah dihubungi untuk pengecaman dan pengesahan manakala mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shahrizan, sehingga kini, mayat belum dapat dikenal pasti oleh pemilik bot kerana menunggu keputusan saringan Covid-19 ke atas mayat selesai.
Shahrizan berkata, terdahulu laporan kehilangan sebuah bot nelayan bernombor pendaftaran PKFB 561 (B) bersama dua kru warga Myanmar dibuat oleh pemilik bot Sabtu lalu.
Beliau berkata, ia berikutan bot milik beliau gagal dihubungi serta tidak pulang ke jeti pada tarikh sepatutnya.
Katanya, susulan itu operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) telah diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi pada 3 April lalu sekitar pukul 2.15 petang.
“Operasi ini melibatkan sebuah bot ronda Maritim Malaysia, sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta beberapa bot nelayan tempatan .
“Sektor pencarian melibatkan keluasan sekitar 459.81 batu nautika persegi dan operasi telah ditamatkan pada jam 7.30 petang semalam dan akan diteruskan sehingga menemui petunjuk baru bagi mencari seorang lagi mangsa yang hilang,” jelasnya lagi. – UTUSAN ONLINE