CYBERJAYA: Kit ujian pengesanan kekuatan antibodi terhadap virus Covid-19 yang pertama di dunia bakal ditawarkan kepada lebih enam juta ahli Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Ia hasil kolaborasi Institut Automatif, Robotik dan Internet Benda Malaysia (MARii) dengan MKM Global Holdings Sdn. Bhd. (MKM) dan syarikat RZAC ImmuneSafe Sdn. Bhd. (RZAC).
Di bawah kerjasama perkomersialan tersebut, kit dikenali sebagai ImmuSAFE itu akan diedar semula oleh MKM yang juga anak syarikat milik penuh Institut Koperasi Malaysia (IKM).
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, langkah itu dijangka memberi manfaat besar kepada jutaan anggota SKM meliputi 14,668 koperasi berdaftar di negara ini.
“Mereka akan menikmati harga diskaun untuk kit itu yang lebih murah daripada kit saringan RTK Antigen dan sudah pun meluas digunakan Kementerian Kesihatan sebelum ini,” katanya kepada media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum dan perjanjian penjualan semula kit itu antara MARii dengan pihak MKM dan RZAC di sini hari ini.
ImmuneSAFE ialah kit ujian serologi berasaskan makmal yang dicipta MARii serta berupaya mengesan antibodi sembilan domain berbeza virus Covid-19 dalam masa hanya lapan jam.
Mengulas lanjut, Madani berkata, kit itu sesuai digunakan untuk individu mengenal pasti tahap kekuatan antibodi melawan Covid-19 sekali gus menentukan jenis vaksin yang bersesuaian.
“Ada vaksin tidak serasi dengan penerima dan terpaksa disuntik penggalak selepas dos kedua, waima dalam kes lebih serius, ada kena tukar pula vaksin jenama lain,” jelasnya.
Justeru katanya, dengan kit ImmuneSAFE, mereka yang didapati kuat antibodi sebenarnya cuma perlu satu dos vaksin dan jenis vaksin bersepadanan dengan tahap kekebalan tubuh.
Ujarnya, hasil ujian kit itu maklumat tepat perihal faktor risiko keberjangkitan dan kekuatan antibodi individu bergejala atau tiada bergejala dapat dianalisis oleh Kementerian Kesihatan. – UTUSAN ONLINE