Manjakan anak beli motosikal buat berlumba haram

Manjakan anak beli motosikal buat berlumba haram

REMAJA yang ditahan kerana berlumba motosikal dalam operasi di daerah Manjung bermula 16 April lalu sehingga semalam. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menasihatkan ibu bapa jangan terlalu memanjakan anak-anak khususnya di bawah umur dengan membelikan mereka motosikal yang kemudiannya digunakan untuk berlumba secara haram atau aktiviti samseng jalanan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, nasihat itu diberikan kerana sepanjang Ramadan ini bermula 16 April sehingga semalam didapati terdapat aktiviti perlumbaan motosikal haram di beberapa lokasi di daerah itu.

“Kumpulan ini kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah namun ada juga segelintir yang sudah bekerja, berumur antara 17 hingga 26 tahun.

“Aktiviti ini selalunya dilakukan selepas solat Tarawih di beberapa lokasi tumpuan termasuk Lebuhraya Pantai Barat (WCE),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, dalam tempoh tersebut, polis sudah menahan empat remaja Melayu berusia 16 hingga 24 tahun mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, sebanyak 23 motosikal pula disita di bawah Seksyen 64(1) akta sama manakala 178 saman dikeluarkan terhadap samseng jalanan tersebut.

Katanya, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 248 motosikal dan 295 penunggang serta pembonceng kenderaan itu.

“Kawasan yang dikenal pasti aktiviti kumpulan tersebut ialah Jalan Batu 12 ke susur lampu Isyarat Lebuh Raya WCE, Jalan Semarak Api, Seri Manjung,  Kilometer (KM) 5 hingga KM 9 Jalan Lumut- Sitiawan serta KM 6 hingga KM 8 jalan sama,” katanya.

Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuassan Trafik dengan bantuan  unit MPV dan Unit Ronda bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung akan mengatur operasi serta menggempur kumpulan itu berdasarkan maklumat, secara berterusan dari masa ke semasa.

Beliau menasihatkan ibu bapa agar jangan manjakan anak dengan membelikan motosikal anak yang bawah umur dan tiada lesen memandu.

“Ibu bapa juga akan diambil tindakan saman, sekiranya motosikal atau kenderaan atas nama mereka dan membenarkan anak bawah umur atau tidak ada lesen dibenarkan menunggang atau memandu.

“Ibu bapa harus sentiasa memantau dan melaksanakan tanggujawab seorang ibubapa  kepada anaknya, supaya mereka tidak terbiar dengan aktiviti kurang sihat seperti lumba haram dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya