BALIK PULAU: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila kenderaan berat yang dipandunya merempuh papan tanda jalan sebelum terjatuh menghempap bahagian atas lori tersebut di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu menghala ke Batu Maung, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa berusia 54 tahun berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati bahagian pengangkut kenderaan itu secara tiba-tiba terangkat sendiri semasa melintasi papan tanda besar berkenaan.
Menurutnya, kemalangan yang berlaku bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan lain.
“Pemandu lori berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan namun dia ke bawa ke balai polis untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala lori terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk diperiksa,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE