PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam semua projek pembangunannya.
Ini terbukti apabila TNB menyertai satu sesi libat urus anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai pelaksanaan projek empangan hidro di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan diadakan bagi merungkai kegusaran kesan pelaksanaannya kepada komuniti sekitar projek itu.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd., Datuk Nor Azman Mufti berkata, TNB komited memastikan komuniti orang asli yang terkesan dengan pembangunan projek hidro ini bakal mendapat pembelaan serta bantuan yang sewajarnya sehinggalah projek ini siap sepenuhnya serta beroperasi kelak.
“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap impak Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance – ESG) dalam melaksanakan projek penjanaan elektrik, TNB sentiasa memastikan setiap syarat dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa dan pihak kawal selia dalam melaksanakan projek penjanaan dipatuhi sepenuhnya,” jelasnya dalam kenyataan, semalam.
Kenyataan itu turut memaklumkan Suhakam berpuas hati dengan penerangan terperinci TNB dalam sesi libat urus yang diadakan dengan harmoni selama tiga jam pada 7 April di Kuala Lipis, Pahang.
Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph yang mempengerusikan sesi libat urus itu berkata, pihak komuniti orang asli yang terkesan diberi peluang untuk membangkitkan sebarang pertanyaan dan kemusykilan mengenai projek ini.
“Proses keterbukaan di antara semua pihak berkepentingan adalah cara penting untuk pembangunan berlaku berlandaskan prinsip hak asasi manusia.
“Kami mementingkan perkongsian maklumat dengan penuh keterbukaan di samping mencari cara yang lebih mesra untuk mengimbangi semua tuntutan hak pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia,” ujarnya.
Sesi dihadiri empat anggota Suhakam, enam pemimpin komuniti orang asli di tapak projek empangan hidro iaitu dari Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kg. Kuala Wias; 11 wakil kumpulan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) serta pegawai-pegawai dari Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan, Pejabat Daerah Gua Musang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan TNB.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Ajeh Baharom berkata, pihaknya berharap pelaksanaan projek pembangunan hidro itu dapat disegerakan kerana penduduk di ketiga-tiga perkampungan orang asli terlibat telah menunggu selama lapan tahun.
“Majoriti penduduk di Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kg Kuala Wias telah bersetuju untuk berpindah ke penempatan baharu dan memulakan kehidupan di tempat baharu seperti yang telah dipersetujui bersama JAKOA, Kerajaan Negeri Kelantan dan juga TNB,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE