Lempar anak menerusi tingkap rumah elak jadi mangsa kebakaran

Lempar anak menerusi tingkap rumah

ROHANI Awang bersama anaknya yang cedera menerima rawatan di Hospital Gua Musang, Kelantan hari ini. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang ibu nekad melempar tiga anaknya menerusi tingkap rumah sebelum turut melompat keluar demi menyelamatkan nyawa mereka dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Batu Lima, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.30 petang ini, Rohani Awang, 25, melecur di lengan kanan akibat disambar api manakala salah seorang anaknya, Mohd. Syafiq Haikal Azmi, 3, patah tangan kiri selepas jatuh dari tingkap setinggi kira-kira dua meter.

Dua lagi anak wanita itu, Wan Syed Ali, 7, dan Suhada, 2, tidak mengalami kecederaan.

Menurut Rohani, ketika kejadian dia sedang tidur bersama anak-anak di bilik manakala suami Azmi Abdul Wahab, 44, keluar bersama ibu dan bapanya untuk melawat saudara-mara di Kampung Limau Kasturi, di sini.

Katanya, dia terhidu bau asap sebelum terdengar jeritan anaknya mengatakan ada api di bahagian ruang tamu.

“Saya terkejut melihat api sudah merebak di hadapan pintu bilik dan nekad melempar anak-anak keluar menerusi tingkap dan seterusnya saya sendiri terjun menerusi tingkap sama,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang, di sini hari ini.

Kata Rohani, dia bersyukur kerana anak-anaknya tidak mengalami kecederaan serius selepas terjun dari tingkap bilik.

“Kami sekarang sehelai sepinggang kerana rumah ibu mentua saya hangus sepenuhnya dalam kejadian itu,” katanya.

Saadah yang ditemui di tapak kebakaran rumah menganggap kebakaran itu sebagai ujian Allah ketika umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan minggu depan.

Katanya, semua persiapan menjelang Ramadan termasuk wang belanja sebanyak RM1,500 hasil daripada menoreh getah serta barang kemas miliknya hangus terbakar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.51 petang.

“Sembilan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi dan sebaik mereka tiba api sedang marak membakar rumah terbabit,” katanya.

Punca kejadian serta kerugian kebakaran masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya