KUALA TERENGGANU: Bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai di sini diarahkan tutup sementara selama 14 hari berikutan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, penutupan itu berkuat kuasa dari pukul 8 malam semalam hingga 30 April.
Katanya, perintah penutupan bazar Ramadan itu bagi memastikan penganjur dapat memperkemaskan SOP agar dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung.
“Pemantauan yang dijalankan pegawai penguat kuasa di lokasi itu selama beberapa hari mendapati banyak pelanggaran SOP berlaku.
“Arahan penutupan bazar tidak dibuat secara mengejut sebaliknya nasihat telah diberi di samping mengikut prosedur ditetapkan, jadi kita berharap semua pihak dapat mengambil iktibar agar tidak cuai dalam pematuhan SOP,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Bazar Ramadan Tok Adis merupakan bazar pertama yang diarah tutup sementara di Terengganu.
Menurut Nor Azimi, penutupan itu dibuat mengikut Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Terdahulu, gambar notis perintah tutup premis membabitkan bazar Ramadan Tok Adis itu tular di media sosial sejak malam tadi. – UTUSAN