KULIM: Seorang kontraktor memberi alasan datang ke rumah teman wanitanya untuk menumpang tidur ketika dicekup penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) dalam operasi pencegahan maksiat di sini di Taman Lagenda, Padang Serai, di sini hari ini.
Kontraktor berusia 46 tahun itu telah berkahwin datang dari Taiping menumpang di rumah teman wanitanya berusia 36 tahun yang masih bujang kerana mempunyai urusan di Sungai Petani dekat sini.
Pegawai Penguat kuasa PADK, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, pasangan terbabit ditahan dalam satu operasi selepas menerima aduan orang awam mengenai salah laku pasangan tersebut pada pukul 1.54 pagi.
“Apabila kami mengetuk pintu rumah itu, seorang lelaki yang memakai baju kemeja T dan berkain pelekat membuka pintu dan ketika pemeriksaan di dalam bilik utama menemui seorang wanita,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil soal siasat kontraktor itu memberi alasan dia menumpang tidur di rumah teman wanitanya itu kerana mempunyai urusan kerja di Sungai Petani hari ini.
Beliau berkata, selepas pemeriksaan mendapati pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri.
Katanya, pasangan itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri 2014. – UTUSAN