Kerajaan negeri sediakan tanah pindah penduduk di Bukit Malut 

Kerajaan negeri sediakan tanah pindah penduduk di Bukit Malut 

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penduduk pada majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa peringkat daerah Langkawi di Masjid Aisyah, Langkawi, semalam. - FOTO/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kerajaan negeri akan menyediakan kawasan baharu untuk memindahkan penduduk warga Myanmar yang tinggal di penempatan haram di Bukit Malut di sini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah tersebut diambil bagi mempercepatkan proses pemindahan penduduk di penempatan haram tersebut.

“Saya difahamkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah datang ke Langkawi dalam masa seminggu dua yang lepas untuk berbincang dengan agensi yang berkaitan bagi mencari kaedah terbaik bagi menguruskan pemindahan penduduk terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa peringkat daerah Langkawi di Masjid Aisyah di sini, semalam.

Utusan Malaysia pada 11 Mac lalu melaporkan warganegara Myanmar kebal sehinggakan sampai hari ini belum ada tindakan terhadap penempatan haram penduduk terlibat yang makin membarah di Bukit Malut di sini.

Lebih 10,000 warganegara Myanmar itu yang mendiami kawasan Bukit Malut berterusan menceroboh tanah kerajaan negeri hingga mencemar imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Dianggarkan kira-kira 2,500 buah rumah didirikan secara haram di penempatan yang sinonim dengan gelaran ‘Little Myanmar’ itu, yang turut mengancam ekologi alam sekitar khususnya kawasan paya bakau di pesisir pantai pulau legenda tersebut.

Difahamkan kebanyakan warga Myanmar itu telah mendapat kerakyatan Malaysia dan memiliki MyKad.

Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri mengharapkan MKN dan kerajaan Pusat dapat memberi keputusan mengenai proses pemindahan penduduk terlibat pada tahun ini.

Jelasnya, kebanyakan penduduk terlibat juga bersedia untuk dipindahkan di kawasan penempatan baharu di tanah mereka sendiri.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, penduduk itu perlu membeli tanah yang disediakan oleh kerajaan negeri itu.

“Kita sediakan (tanah) untuk mereka beli secara tunai atau sewa beli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya