ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengumumkan pemberian bantuan khas sempena Aidilfitri berjumlah RM1,000 kepada semua pegawai dan kakitangan awam di negeri ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian tersebut akan memberi manfaat kepada seramai 5,300 pegawai dan kakitangan awam negeri termasuk pekerja kontrak serta mereka yang bercuti separuh atau tanpa gaji.
“Secara keseluruhannya, pemberian bantuan khas ini melibatkan perbelanjaan berjumlah RM5.3 juta dengan pembayaran akan dibuat sebelum ketibaan 1 Syawal.
“Pemberian ini mengambil kira kutipan hasil kerajaan negeri untuk suku pertama 2021 yang agak baik berbanding tempoh sama tahun lepas. Justeru, ini merupakan sebagai penghargaan terhadap kerja keras dibuat kakitangan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi menambah, kutipan hasil kerajaan negeri bagi suku pertama tahun ini meningkat lebih RM100 juta berbanding tahun lalu.
“Tahun lalu, kutipan kita hanya sekadar RM100 juta untuk tempoh Januari hingga April namun tahun ini jumlahnya meningkat kepada lebih RM200 juta.
“Perolehan cukai tertinggi hadir daripada sektor hartanah dengan kerajaan negeri bekerja keras bagi membuat kutipan tersebut,” katanya.
Tambahnya, kelulusan untuk pelaburan baharu juga mendatangkan pulangan yang banyak kepada kerajaan negeri.
“Sebagai contoh, apabila kita luluskan tapak pelaburan baharu kepada Widad Business Group Sdn. Bhd. (Widad), mereka perlu membayar premium dan sudah pun melunaskannya.
“Sekarang kita mempunyai simpanan kerajaan antara yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini,” katanya. – UTUSAN