PELABUHAN KLANG: Sebuah kapal terbiar yang dalam proses pelupusan terbakar 40 peratus dalam kejadian di Jalan Pantai Acheh, di sini hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3.57 petang itu, tiada mangsa dilaporkan cedera susulan kebakaran tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, sejurus menerima laporan, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 4.26 petang.
Menurutnya, dua balai bomba terlibat dalam operasi pemadaman iaitu Balai Bomba Pelabuhan Klang dan Kota Raja.
“Setibanya di lokasi kejadian, kelihatan dua buah kapal ditinggalkan berada di lokasi kejadian yang mana salah satunya terbakar 40 peratus.
“Setakat ini, kemungkinan kebakaran berpunca daripada kerja-kerja pemotongan bahagian kapal bagi tujuan scrap yang dilakukan oleh kontraktor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN
KAPAL terbiar yang terbakar 40 peratus di Jalan Pantai Acheh, Pelabuhan Klang, Selangor hari ini. – BOMBA SELANGOR