KEMAMAN: Polis menerima laporan terdapat kanak-kanak berusia 10 tahun yang menjadi antara pelanggan di premis judi ekor haram di Taman Samudera, Jalan Air Putih di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kanak-kanak berkenaan dikatakan membeli nombor ekor untuk bapanya di premis yang berselindung di sebalik kedai menjual haiwan peliharaan itu.
Katanya, satu serbuan dibuat oleh sepasukan polis dan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kemaman bagi memastikan operasi pusat judi haram itu dihentikan serta-merta.
“Kegiatan judi ekor haram serta judi atas talian di premis ini dikesan beroperasi sejak tujuh bulan lalu dan walaupun sudah tiga kali amaran diberikan, namun pemiliknya tetap berdegil.
“Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari ini, bekalan elektrik di premis berkenaan dipotong bagi menghentikan serta-merta kegiatan tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Hanyan berkata, sejak Januari lalu, tiga premis telah dikenakan tindakan sama mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi menghentikan kegiatan judi haram di Kemaman.
Katanya, pihak polis turut berterima kasih kepada masyarakat setempat yang menyalurkan maklumat berkenaan kegiatan tersebut.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya turut mengambil tindakan dengan membatalkan lesen perniagaan penjualan haiwan peliharaan serta-merta. – UTUSAN ONLINE