PETALING JAYA: Jualan kenderaan dalam Malaysia pada Mac lalu mencatatkan peningkatan 49 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sebanyak 63,878 unit kenderaan diserahkan kepada pelanggan pada Mac, meningkat 21,094 unit berbanding 42,784 unit pada Februari.
Perodua kekal menjadi jenama paling laris dalam pasaran dengan 24,431 jualan, 47.3 peratus lebih tinggi berbanding jumlah jualan bulan sebelumnya.
Walaupun kekal di kedudukan kedua, jurang jualan antara Proton dengan Perodua semakin meningkat apabila Proton hanya mencatatkan jualan 14,770 unit pada bulan tersebut.
Ia bagaimanapun jumlah yang lebih tinggi berbanding jualan jenama kereta nasional itu pada Februari iaitu pada 11,686 unit kenderaan.
Menurut MAA, peningkatan jualan pada Mac didorong beberapa faktor termasuk pengenalan model baharu dan semua syarikat mahu menyerahkan kenderaan sebelum tahun kewangan berakhir pada bulan tersebut.
Tidak ketinggalan, pengecualian cukai jualan yang masih berlangsung sehingga 30 Jun membantu meningkatkan jualan hampir semua jenama.
Sementara itu, Honda menjadi jenama asing paling laris dengan jualan 8,925 unit, meningkat 103.3 peratus berbanding bulan sebelumnya pada 4,389 unit.
Toyota bersaing sengit dengan Honda pada tempat keempat dengan jualan 8.136 unit, meningkat berbanding catatan 5,026 unit pada Februari.
Toyota bagaimanapun masih mengatasi Honda dari segi jualan terkumpul sepanjang tahun, dengan 16,990 unit berbanding 14,771 unit oleh Honda.
Volvo dan Lexus terus mengungguli segmen kenderaan premium dengan jualan 230 dan 89 unit masing-masing sementara data untuk BMW dan Mercedes tidak disediakan kepada MAA. – UTUSAN ONLINE