Johor kecualikan pelbagai bayaran kepada peniaga bazar Ramadan

Johor kecualikan pelbagai bayaran kepada peniaga bazar Ramadan, Aidilfitri

AYUB JAMIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran permit, sewa tapak, lesen sementara dan yuran pendaftaran serta wang proses kepada peniaga Bazar Ramadan pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, pengecualian itu dibuat berikutan faktor Covid-19 dan usaha pemulihan sektor ekonomi tempatan.

Jelasnya, pengecualian bayaran ini hanya terpakai bagi penganjuran bazar Ramadan bagi Tahun 2021 sahaja.

“Penganjur tidak dibenarkan mengenakan caj yang tinggi kepada peniaga di mana kadar bayaran hendaklah bersesuaian dengan kelulusan PBT dan ianya perlu dinyatakan dengan jelas.

“Bayaran yang boleh dikenakan kepada peniaga hanya bagi perkara meliputi khemah, apron, kebersihan dan pengurusan sisa pepejal, kawalan keselamatan dan utiliti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi tahun ini, sebanyak 9,609 petak jualan disediakan di 193 lokasi tapak penganjuran bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kesemua 16 PBT seluruh Johor.

Tambah beliau, kerajaan negeri bersetuju membenarkan operasi bazar Ramadan di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada tahun ini dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bagaimanapun, tindakan menghenti atau menutup operasi bazar Ramadan boleh diambil sekiranya berlaku penularan wabak Covid-19 di kawasan tersebut. 

“Tempoh penutupan operasi itu juga tertakluk kepada penilaian risiko yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” ujarnya.

Ayub turut memberitahu, waktu operasi bazar Ramadan yang dibenarkan adalah bermula dari pukul 3.00 petang hingga 8.00 malam, manakala bazar Aidilfitri beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Katanya lagi, rayuan untuk menambah masa operasi pembukaan bazar juga tidak akan dipertimbangkan seiring dengan usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Sementara itu, golongan warga emas dan kanak-kanak tidak digalakkan mengunjungi bazar Ramadan bagi mengurangkan risiko jangkitan manakala bilangan anggota bagi tujuan keselamatan dan pematuhan SOP akan dipertingkat.

“Sehubungan itu diharap semua pihak dapat bekerjasama agar kebenaran penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini dapat memberi manfaat kepada peniaga di seluruh negeri,” ujarnya. – UTUSNA ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya