PETALING JAYA: Pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) menawarkan penjimatan ribuan ringgit untuk model terpilih Ford Ranger Raptor dan WildTrak dalam kempen praperayaan yang diadakan sehingga 30 April ini.
Kempen tersebut menawarkan penjimatan sehingga RM8,000 untuk pembelian Ranger Raptor dan RM7,000 untuk Ranger WildTrak, kedua-duanya tertakluk kepada model buatan 2020 serta terma dan syarat yang ditetapkan.
Ketua Jualan SDAC, Turse Zuhair berkata, tawaran tersebut diharapkan dapat memberikan lebih penjimatan kepada pelanggannya pada musim perayaan ini.
“Sebagai model terunggul untuk kelasnya, Ranger Raptor dan WildTrak merupakan lambang trak pikap gaya hidup yang menjadi pilihan para pelanggan yang bijak dan peminat pikap di Malaysia,” katanya dalam kenyataan dekat sini.
Kedua-dua model tersebut adalah antara model popular Ford terutamanya buat peminat kenderaan tahan lasak.
Menurut SDAC, Ranger Raptor kekal sebagai trak pikap berprestasi dan berkelajuan tinggi buatan kilang yang unggul di Malaysia.
Kata syarikat itu, model tersebut dinadikan dengan DNA prestasi Ford yang melangkaui jangkaan dan mampu mendebarkan peminat aksi lasak tegar.
“Prestasi lasak Raptor diperakui berdasarkan keupayaan sistem gantungan Fox Racing Shox setaraf kereta lumba, Sistem Pengurusan Muka Bumi meliputi mod Baja yang canggih dan enjin diesel 2.0 liter Bi Turbo yang dikalibrasi penuh teliti dengan transmisi automatik 10-kelajuan yang menghasilkan tenaga 213 PS dan daya kilas setinggi 500Nm,” katanya.
Tambahnya lagi, Ranger WildTrak turut sama istimewa memandangkan ia alternatif kepada Raptor, bagi penggemar yang mahukan perincian yang tiada dalam segmen pikap.
“Ia menawarkan pelbagai teknologi keselamatan pintar termasuk ciri-ciri yang berkelas seperti Brek Kecemasan Autonomi dengan Pengesan Kenderaan dan Pejalan Kaki, Amaran dan Bantuan Keluar Laluan serta Amaran Pelanggaran Hadapan,” katanya.
-habis-