India sekat akaun bank ByteDance - Utusan Malaysia

India sekat akaun bank ByteDance

BYTEDANCE INDIA dilarang mengeluarkan dana dari akaun bank yang terkait dengan nombor pengenalan cukainya. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Pihak berkuasa India telah menyekat dua akaun bank ByteDance Inc. atas dakwaan sengaja mengelak bayaran cukai.

Sumber yang dekat dengan perkara itu memberitahu, ByteDance meminta mahkamah untuk membatalkan arahan itu kerana bimbang ia akan menjejaskan operasinya.

Reuters melaporkan, pada bulan Januari, pemilik aplikasi TikTok itu telah memotong tenaga kerjanya dari India setelah negara itu memutuskan untuk mengekalkan larangan aplikasi video TikTok.

Larangan tersebut dibuat pertama kali pada tahun lalu susulan pertembungan sempadan China dan India.

China telah berulang kali mengkritik tindakan India dan mendakwa ia melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

ByteDance yang mengeluarkan kenyataan untuk mencabar keputusan India itu mempunyai sekitar 1,300 pekerja yang kebanyakannya menjalankan operasi di luar negara termasuk melakukan aktiviti seperti penyederhanaan kandungan.

Pada pertengahan Mac, pihak berkuasa telah memerintahkan dua akaun bank ByteDance India di Citibank dan HSBC disekat berikutan dakwaan mengelak bayaran cukai tertentu dalam urusan pengiklanan dalam talian antara unit ByteDance di India dan entiti induknya di Singapura, TikTok Pte Ltd.

Menurut sumber, pihak berkuasa juga mengarahkan bank-bank tersebut untuk menghalang ByteDance India mengeluarkan dana dari akaun bank yang berkait dengan nombor pengenalan cukainya.

Dalam maklumannya kepada mahkamah yang mungkin akan dibicarakan pada minggu ini di Mahkamah Tinggi di Mumbai, ByteDance India berkata walaupun hanya mempunyai sekitar AS$10 juta dalam akaunnya, keputusan untuk menyekatnya itu adalah penyalahgunaan proses undang-undang dan akan menyukarkan pembayaran gaji serta cukai.

ByteDance menekankan pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan pihak berkuasa itu dalam hal ini dan menambah bahawa pihaknya memberi komitmen untuk mematuhi undang-undang dan akan bekerjasama dengan kerajaan.

Citibank dan HSBC serta Kementerian Kewangan India enggan memberi sebarang komen. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya