KOTA KINABALU: Duduk ditepi katil dengan keadaan kaki yang lumpuh, Risah Rasi, menyambut kedatangan sukarelawan MyFundAction dengan senyuman penuh mesra.
Namun, siapa sangka di sebalik senyuman manis warga emas itu tersimpan kisah duka yang tersembunyi.
Ditinggalkan suami dan anak-anak yang mula membina kehidupan masing-masing menyebabkan Risah, 74, terpaksa menjaga dua lagi anaknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Katanya, ketika insan lain menjalani ibadah puasa dalam keadaan selesa, mereka tiga beranak yang tinggal di Kampung Likas di sini terpaksa menjalani bulan Ramadan dalam keadaan serba kekurangan.
Rumah yang didiami bukan sahaja usang malah, tidak mempunyai bekalan elektrik dan mereka hanya bergantung kepada cahaya lilin untuk menerangi rumah pada waktu malam.
Risah bersyukur kerana ada pihak yang prihatin menyumbangkan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan kerana kakinya lumpuh akibat terjatuh kira-kira tiga tahun lalu.
“Saya tidak boleh banyak bergerak sejak patah kaki. Jadi, saya hanya duduk di atas tilam ini sahaja. Kalau perlu memasak, anak saya yang OKU akan tolong ambil apa yang perlu kemudian saya akan memasak untuk kami tiga beranak,” katanya ketika ditemui semasa penyampaian sumbangan oleh MyFundAction, dekat sini hari ini.
MyFundAction menyumbangkan barangan keperluan dapur melalui program Kotak Rezeki Umat yang dijalankan di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.
Ibu kepada tujuh anak ini berkata, lima anaknya sudah mempunyai kehidupan masing-masing maka, hanya tinggal mereka tiga beranak di rumah tersebut.
Menurutnya, lima anaknya termasuk seorang anak yang bekerja di Kuala Lumpur sudah lama tidak balik menjenguk mereka tiga beranak.
Dari segi kewangan pula, mereka hanya bergantung kepada bantuan asnaf daripada Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di Likas dan bantuan kebajikan RM100 untuk setiap seorang anaknya pada setiap bulan.
“Bantuan kebajikan RM200 itulah yang kami gunakan untuk membeli barang keperluan dapur dan duit tambang untuk ke hospital setiap bulan. Anak saya ini ada masalah mental jadi, saya kena bawa mereka mendapatkan rawatan susulan di Hospital Bukit Padang.
“Walaupun saya sendiri berdepan kekangan untuk bergerak namun, saya perlu menemani dua anak saya ini mendapatkan rawatan di hospital,” katanya sambil menambah dua anaknya yang OKU itu berusia 40-an.
Sementara itu, Rahimah Gulam, 52, turut berkongsi Ramadan yang penuh kisah duka pada tahun ini. Ibu kepada tiga anak ini baharu kehilangan suami pada bulan lepas akibat serangan jantung. Kematian suami menyebabkan Rahimah kehilangan tempat bergantung dan putus sumber kewangan.
Biarpun mempunyai anak namun dua anaknya masing-masing menjalani kehidupan sendiri maka, hanya tinggal beliau dan anak bongsunya sahaja di rumah tersebut. Anak bongsunya hilang pekerjaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi Ramadan dan Aidilfitri kali ini kami raikan dalam keadaan sederhana sahaja. Kami tidak membuat sebarang persiapan raya kerana perasaan kehilangan suami itu masih lagi terasa,” katanya. – UTUSAN