Harga minyak masak dalam botol perlu dikawal - Cake

Harga minyak masak dalam botol perlu dikawal – Cake

MOHAMAD Yusrizal Yusoff memeriksa harga minyak masak dalam botol ketika melakukan tinjauan harga minyak masak di sebuah pasar raya mini di Jalan Seberang Perak, Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mendesak kerajaan menyenaraikan minyak masak dalam botol seberat lima kilogram di dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang dikuatkuasakan dari 21 April  hingga 20 Mei depan.

Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah tersebut dapat mengawal harga harga minyak masak daripada terus melambung sehingga membebankan pengguna menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, harga minyak masak itu dikesan naik mendadak di pasaran sebanyak 10 peratus sejak awal tahun ini.

“Syarikat pemborong minyak masak didapati mengambil kesempatan menaikkan harga minyak masak dalam botol terutamanya pada Ramadan ini dan dijangka meningkat menjelang hari raya.

“Ini kerana harga minyak masak itu sebelum ini tidak dikawal seperti minyak masak paket,” kata beliau selepas tinjauan harga minyak masak di sebuah pasar raya mini di Jalan Seberang Perak, di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan selepas kecoh kenaikan harga keperluan barangan dapur terutama ayam dan daging baru-baru ini, kini pengguna berdepan pula kenaikan harga minyak masak sehingga melepasi RM30 untuk botol seberat lima kilogram.

Kenaikan itu dikesan bermula awal tahun ini namun semakin ketara ketika menjelang Ramadan dan dijangka berlarutan menjelang  Aidilfitri.

Selain itu, Mohamad Yusrizal berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan supaya santan dan beberapa jenis sayur-sayuran disenaraikan dalam SHMMP.

Menurutnya, Cake juga mendapati harga kedua-dua barangan itu meningkat pada Ramadan dan musim perayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN