SEREMBAN: Harga ayam segar di negeri ini masih di paras harga stabil walaupun dilaporkan berlaku peningkatan harga di beberapa buah negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peningkatan harga ayam segar juga berlaku di negeri ini namun ia masih terkawal didorong penawaran yang masih melebihi permintaan di negeri ini.
“Harga ayam memang agak tinggi ketika ini mungkin bekalan yang berkurangan, biasanya penternak akan menumpu di akhir Ramadan untuk memenuhi permintaan hari raya Aidilfitri. Apabila permintaan berlebihan, biasanya peniaga akan ambil kesempatan.
“Di peringkat ladang juga harga sudah tinggi namun di Negeri Sembilan tidak setinggi di tempat lain. Negeri Sembilan antara pengeluar ayam terbesar, penawaran ayam di negeri ini sebenarnya melebihi permintaan, kita juga banyak pasarkan ke luar negeri, banyak syarikat besar mengusahakan penternakan ayam di negeri ini, itu antara faktor harga ayam di negeri ini agak stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan peningkatan mendadak harga runcit barangan di seluruh negara termasuk di pasar-pasar basah.
Ayam proses dijual pada harga RM7.30 hingga RM9.50 sekilogram berbanding harga siling RM6.50 yang ditetapkan.
Semakan menerusi aplikasi Price Catcher Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga ayam bersih standard di negeri ini pada hari ini mencecah RM10.00 sekilogram iaitu yang dijual di sebuah pasar mini di Tampin.
Di Pasar Besar Tampin pula ia dijual pada harga RM9.50 sekilogram manakala di Pasar Besar Seremban ia dijual pada harga RM9.20 sekilogram.
Sementara itu, ujar Aminuddin, beliau tidak menerima sebarang laporan mengenaikan kesesakan di bazar-bazar Ramadan di negeri ini pada hari pertama puasa semalam.
“Kita tidak menerima laporan kesesakan di bazar Ramadan buat masa ini, mungkin semalam hari pertama berpuasa ramai yang berbuka puasa di rumah malah semalam juga hujan.
“Hari ini mungkin ramai yang mula mengunjungi bazar Ramadan sehubungan itu saya mengingatkan orang ramai termasuk peniaga untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN