Hanya 4.3 peratus sahaja carum SKSPS - Perkeso

Hanya 4.3 peratus sahaja carum SKSPS

TONG Sing Chuang (kiri) menyampaikan pampasan Faedah Hilang Upaya Sementara kepada Meor Samsul Helmi Rahmatullah sempena Jelajah Perkeso Prihatin Jubli Emas 50 tahun di Taman Pulai Jaya, Skudai, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Johor menggesa lebih ramai individu yang bekerja sendiri mencarum bersama pertubuhan itu di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi mendapatkan pelindungan.

Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuang berkata, penekanan turut diberikan kepada penghantar barang dan makanan yang terdedah kepada bahaya dan risiko kemalangan ketika berada di jalan raya. 

Katanya, gesaan itu dibuat setelah peratusan mereka yang mendaftar dengan SKSPS amat rendah pada tahun ini iaitu hanya sekitar 4.3 peratus sahaja.

“Mengikut perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia, jumlah yang bekerja sendiri di negeri ini adalah seramai 294,684 melibatkan pelbagai bidang termasuk penjual dalam talian dari rumah dan penghantar makanan. 

“Daripada jumlah tersebut, 12,758 daripadanya membuat caruman di bawah skim tersebut. Ia turut melibatkan kira-kira 3,000 penghantar makanan dan barang. 

“Kerja penghantar makanan dan barang ini berisiko tinggi dan perkara itu disokong dengan data kemalangan jalan raya di negeri ini yang melibatkan mereka. Ada juga yang melibatkan kemalangan maut, tapi mereka tidak mendapat apa-apa kerana tiada pelindungan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara kepada penghantar makanan, Meor Samsul Helmi Rahmatullah sempena Jelajah Perkeso Prihatin Jubli Emas 50 tahun di Taman Pulai Jaya, di sini semalam. 

Sing Chuang berkata, jumlah peratusan pencarum yang rendah bagi SKSPS menunjukkan kesedaran awam bagi mendapatkan pelindungan Perkeso masih rendah atau mereka tidak mengetahui tentang skim berkenaan. 

“Banyak manfaat yang diterima jika mereka mencarum termasuk bantuan perubatan jika terlibat dalam kemalangan dan kita akan sediakan alat bantuan jika berlaku kecacatan atau hilang upaya. 

“Mereka boleh memilih antara empat pelan disediakan dalam skim tersebut yang memberikan nilai caruman berbeza serendah RM157.20 atau RM13.10 sebulan hingga RM592.80 setahun atau RM49.40 sebulan,” katanya. 

Beliau berkata, waris dan ahli keluarga turut mendapat manfaat daripada caruman tersebut sekiranya pencarum meninggal dunia ketika sedang bekerja. 

Inisiatif kerajaan menerusi SKSPS yang dilaksana sejak Januari lalu diperluaskan kepada 19 sektor iaitu Pengangkutan Barangan Makanan, Pertanian, Penternakan, Perhutanan, Perikanan, Makanan, Pembuatan, Pembinaan, Penjaja, Premis Penginapan dan Perniagaan Online.

Bidang lain adalah Teknologi Maklumat, Pemprosesan Data, Ejen, Perkhidmatan Profesional, Perkhidmatan Sokongan, Kesenian, Perkhidmatan Isi Rumah serta Penjagaan Rawatan dan Pemulihan Kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya